Sup Kepala Ikan Mok Ambo tarikan baharu di Tok Bali
PASIR PUTEH - Sup kepala ikan menjadi tarikan utama orang ramai ke restoran baharu di tepi Terusan Semerak di Tok Bali.
Restoran Sup Kepala Ikan Mok Ambo yang terletak di bawah Jambatan Tok Bali itu memilih menu berbeza dengan kebanyakan restoran di Tok Bali yang kebanyakannya bertumpu kepada ikan bakar.
Pengurusnya, Zulkifli Umar berkata, walaupun baharu 10 hari beroperasi, restoran yang diusahakan sudah dikenali ramai.
"Saya pilih sup kepala ikan sebagai menu utama, pelbagai spesies ikan seperti jenahak, kerapu, jemuduk, dan cermin.
"Selain itu kita juga menyediakan sup ketam nipah yang sukar diperolehi di kedai makan lain di Kelantan," katanya.
Menurutnya, Restoran Sup Kepala Ikan Mok Ambo dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!