Restoran anjur kelas mengaji al-Quran percuma

Suasana pembelajaran dalam kelas yang diadakan di restoran terbabit setiap Selasa bermula Februari lalu. (Gambar kecil: Mohd Zarimi (kiri), Nawawi)
Suasana pembelajaran dalam kelas yang diadakan di restoran terbabit setiap Selasa bermula Februari lalu. (Gambar kecil: Mohd Zarimi (kiri), Nawawi)
A
A
A

TEMERLOH - Bukan di rumah, masjid ataupun surau, sebaliknya restoran menjadi lokasi untuk membaca dan mempelajari al-Quran.

Itu pendekatan yang diambil oleh Restoran Nasi Arab Temerloh dengan kerjasama Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS) yang menganjurkan kelas berkenaan kepada penduduk setempat secara percuma.

Dimulakan sejak Februari lalu, kelas tersebut berjaya menarik minat 20 pelajar dengan dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman.

Pemilik restoran, Nawawi Al Puruni berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan MTIS bagi menarik minat masyarakat untuk membaca al- Quran di mana-mana sahaja mereka berada.

"Mereka boleh datang dan mengaji bermula jam 9 malam selepas solat Isyak dan tamat sejam kemudian setiap hari Selasa.

"Malah pihak restoran menyediakan jamuan selepas setiap kelas diadakan, juga secara percuma kepada pelajar," katanya kepada Sinar Harian.

Pelajar fokus ketika dalam kelas terbabit yang diadakan di Restoran Nasi Arab Temerloh setiap Selasa.
Pelajar fokus ketika dalam kelas terbabit yang diadakan di Restoran Nasi Arab Temerloh setiap Selasa.

Beliau yang juga tenaga pengajar kelas bersama Mudir MTIS sendiri, Mohd Zarimi Shubrawi membimbing pelajar berusia 20 hingga 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

Bila ditanya mengapa dia sanggup menyediakan makanan secara percuma untuk pelajar terlibat, Nawawi berkata, pihaknya ingin menghargai dan meraikan mereka yang datang ikhlas untuk belajar membaca al-Quran.

"Mereka korbankan masa walau hanya sekali seminggu, maka saya yakin tidak rugi menjamu tetamu yang mulia ini.

"Bukan kadang-kadang tetapi selalu juga kami jamu semua ahli kelas dengan menu istimewa iaitu Nasi Arab Temerloh ini," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Zarimi berkata, dia menerima ajakan Nawawi untuk membuka kelas mengaji al- Quran di restoran kerana sangat menyokong usaha murni tersebut walaupun berdepan kekangan masa.

"Saya sangat menyokong usaha ini dan semoga ALLAH membuka jalan yang lebih luas atas usaha yang baik mengajak masyarakat dekat dengan al-Quran dengan apa cara sekalipun.

"Semoga usaha kami yang sedikit ini boleh beri peluang masyarakat untuk lebih dekat dengan al-Quran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!