Tibanya S-400 di bumi Turki

A
A
A

PADA malam berdarah 15 Julai 2016, terdapat dua jet pejuang F-16 buatan Amerika yang telah digerakkan secara berasingan di Turki. Misi pemandu kedua-dua pesawat berkenaan cukup kritikal: satu ditugaskan untuk menembak jatuh pesawat yang membawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, manakala satu lagi ditugaskan untuk mengebom Parlimen Turki.

Misi pesawat F-16 yang kedua boleh disifatkan ‘berjaya’ – ia telah mengebom Parlimen Turki sebanyak 11 kali. Namun misi pesawat F-16 yang pertama telah digagalkan oleh kecekapan pemandu pesawat yang membawa Erdogan yang bertindak memalsukan identiti pesawat tersebut sebagai ‘pesawat awam’. Kedua-dua pesawat F-16 itu jelas berada dalam kawalan kem tentera yang cuba merampas kuasa; namun ia telah menguatkan rasa tidak percaya Erdogan terhadap aset buatan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Beberapa hari menjelang sambutan ulang tahun ketiga tragedi cubaan rampasan kuasa 2016 itu, Turki telah menerima sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Rusia. Ketibaan aset ketenteraan yang terkemuka itu memiliki simbolik yang tersendiri – ia secara langsung menjadikan Turki ialah satu-satunya negara anggota NATO yang memiliki aset buatan Rusia. Ketibaan S-400 di Pangkalan Udara Murted, Ankara menghadirkan implikasi tidak langsung ke atas lokasi berkenaan yang pada asalnya dikenali sebagai Pangkalan Udara Akinci sebelum ditukar nama kepada Murted. Akinci ialah lokasi kebanyakan tentera yang bersubahat dalam cubaan kudeta 2016 berpangkalan.

Sistem pertahanan peluru berpandu S-400 ini sendiri cukup ampuh – ia mampu menembak sasaran sejauh 400km, dan turut menghadirkan ancaman ke atas aset buatan NATO yang dikepalai Amerika. Namun terdapat beberapa faktor geostrategi lain yang turut menjadikan ketibaan S-400 di Turki ini sebagai kritikal.

Tentu sekali, kecurigaan terhadap kesetiaan Amerika sebagai sekutu NATO adalah antara faktor besar yang mempengaruhi keputusan Erdogan untuk tetap meneruskan pembelian S-400 dari Rusia ini meskipun dalam keadaan Washington menekan Ankara dengan sekatan ekonomi dan penggantungan daripada penyertaan dalam projek pembuatan pesawat pejuang F-35. Untuk rekod, Turki telah melaburkan tidak kurang daripada satu bilion dolar dalam konsortium projek F-35 sebelum disekat oleh Washington.

Mengapa Erdogan tetap meneruskan transaksi pembelian S-400 ini? Selain daripada kejadian dua pesawat F-16 buatan Amerika yang hampir meragut nyawa Erdogan dan meranapkan Parlimen Turki, tindakan Washington yang tidak memberi kerjasama dalam menyerahkan individu yang dituduh Ankara sebagai dalang di sebalik cubaan kudeta itu ialah antara plot penting yang memudarkan keyakinan hubungan bilateral dua kuasa ini. Individu itu ialah Fethullah Gulen – seorang cendekiawan yang pada awalnya bersekutu dengan Erdogan dan AKP – namun kini tinggal di Amerika sebagai orang buruan Ankara.

Satu lagi peristiwa ialah hubungan rapat Washington dengan pemberontak Kurdish YPG di Syria. Adanya laporan bahawa aset Amerika seperti Javelin dan peluru berpandu anti kereta kebal TOW berada di tangan pemberontak YPG menguatkan lagi anggapan bahawa Amerika dan Turki sedang ‘berperang’ antara satu sama lain. Meskipun Amerika mendakwa bahawa mereka menyokong Pasukan Demokratik Syria (SDF) bagi menentang rejim Bashar al-Assad di Syria, namun Turki menegaskan bahawa SDF memiliki hubungan dengan pemberontak Parti Pekerja Kurdish (PKK) yang sekian lama menjadi duri dalam daging hubungan Turki-Kurdish.

Faktor pemindahan teknologi dan kedaulatan persenjataan Turki ialah satu lagi faktor penting dalam pemerolehan S-400 ini. Rusia turut menawarkan pemindahan teknologi S-400 kepada Turki hingga ke tahap kedua-dua negara bersetuju untuk terlibat dalam pengeluaran S-400 dan pembangunan S-500 secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi faktor ialah pencegahan pertembungan Turki dengan Armada Keenam Amerika yang ditugaskan bagi melindungi ExxonMobil (milik Amerika) yang disokong Cyprus serta Kesatuan Eropah dalam penerokaan minyak di Timur Mediterranean.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!