Kemboja pulangkan 1,600 tan sisa plastik ke AS, Kanada
PHNOM PENH - Kemboja akan memulangkan 1,600 tan sisa plastik ke Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Neth Pheaktra berkata, sisa terbabit ditemukan pada Selasa lalu dalam beberapa kontena di bandar pelabuhan Sihanoukville dan ia bakal dihantar pulang ke negara asal.
"Kemboja bukan tempat membuang sisa teknologi lama," kata Neth.
Menurut Neth, 70 kontena berisi sisa plastik dihantar dari AS sementara 13 lagi dari Kanada.
Gambar pihak berkuasa memeriksa kontena yang dipenuhi timbunan plastik terbabit mencetuskan kemarahan pengguna sosial media Kemboja.
Pengarah Eksekutif Transparency International Kemboja, Preap Kol berkata menerusi Facebook bahawa penghantaran sampah tersebut adalah satu penghinaan serius.
Keputusan China menghentikan import sisa plastik dari negara asing menyebabkan kekacauan dalam kitar semula global, dan negara maju terpaksa mencari negara baru untuk membuang sampah mereka. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!