Usia 18 sudah dikira matang
RANG undang-undang itu akhirnya diluluskan oleh Dewan Rakyat. Syabas kepada ahli Yang Berhormat yang sebulat suara menyokong pindaan berkenaan.
Walaupun dalam sesetengah perkara YB-YB bertegang urat, ada ketikanya mengarut dan meroyan ketika berdebat di dewan yang mulia, pada saat-saat penting mereka bersatu tanpa mengira parti.
Kematangan dan kebijaksanaan seperti inilah yang melegakan hati rakyat. Sekali lagi syabas para YB!
Dengan kelulusan pindaan pada Rang Undang-Undang itu, semua warganegara yang berusia 18 tahun bukan sahaja layak mengundi, tetapi juga layak menjadi calon pilihan raya.
Pindaan ini berserta dengan pendaftaran pengundi secara automatik dijangka menambah bilangan pemilih sebanyak lebih tujuh juta pada pilihan raya akan datang.
Tambahan lebih tujuh juta pemilih dalam kalangan remaja ini tidak syak lagi adalah satu suara @ kuasa yang boleh mencorakkan landskap politik negara.
Memang ada sahaja suara dan nada sinis daripada sesetengah pihak mengenai mengundi dan menjadi calon pada usia 18. Mereka menghujah, usia tersebut terlalu muda, 'belum memahami politik'.
Sekiranya mereka belum memahami politik bagaimana kuasa remaja ini boleh mencorakkan politik dan memberi sumbangan kepada negara?
Mungkin ada benarnya hujah itu. Tetapi perlu juga ditanya apakah semua pemilih yang selama ini telah beberapa kali mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) betul-betul faham politik.
Maka teringat saya kepada musim pilihan raya di kampung saya pada masa kanak-kanak dahulu apabila lambang parti-parti dipasang di seluruh kampung.
Saya masih ingat ada lambang kapal layar, ada lambang bulan dan ada lambang kepala lembu warna merah.
Di surau Tok Ketua dan Tok Imam pun sibuk bercakap mengenai pilihan raya dan lambang-lambang itu. Rata-rata mereka suka kapal layar.
“Kalau tidak ada kapal layar macam mana orang nak turun ke laut tangkap ikan? Tak ada kapal layar tak berlauk kita!” kata Tok Siak.
“Habis tu kalau tak ada lembu macam mana nak tarik barang?” Ada yang menambah: “takkan nak makan ikan saja, sesekali nak juga kurma daging lembu.”
Saya seronok mendengar mereka berbual dan bertelagah sementara menunggu waktu Isyak. Tetapi saya tidak faham kenapa mereka bertengkar pasal kapal layar dan kepala lembu.
Malam pada hari mengundi saya bertanya emak parti mana yang dia pangkah, emak menjawab: “Dah tentulah mak pangkah kapal layar, semua orang cakap pangkah kapal layar!”
Saya tidak fikir emak dan sebahagian besar orang kampung saya faham politik. Mungkin sampai hari ini, setelah beberapa kali mengundi pada PRU ramai yang tidak faham politik, main ikut-ikut sahaja.
Apa pun saya mendaftar sebagai pemilih sebaik memasuki usia 21 pada tahun 1975. Waktu itu saya mula menjadi pemberita di Utusan Melayu dan sedikit sebanyak mula didedahkan dengan politik.
Sebagai pengundi berdaftar saya berasa bangga telah menggunakan hak saya sekali dalam lima tahun, selalu pula berangan bahawa undi saya yang satu boleh menjadi penentu kerajaan masa hadapan.
Pada satu ketika di kemuncak kerjaya sebagai orang surat khabar, ada teman-teman memujuk saya menyertai parti politik. Malah ada yang menawarkan untuk saya menjadi calon pada satu PRU.
Tetapi saya memilih untuk terus menjadi wartawan. Tanpa terikat dengan mana-mana parti, saya rasa hidup dan kerja saya lebih selesa.
Beberapa orang rakan wartawan saya menceburkan diri dalam politik, berjaya menjadi wakil rakyat, ada juga yang menjadi menteri kanan. Saya harap mereka bahagia dan tenteram!
Kita tidak perlu menjadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Tetapi sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita perlu menjadi pemilih dan mengundi.
Saya tidak mensia-siakan hak sebagai pengundi. Sejak mendaftar, saya sudah mengundi pada lima PRU.
Setiap kali pilihan raya ada sahaja parti baru. Macam-macam lambang dacing, roket bulan, basikal, anak kunci. Sudah lama saya tidak perasan kepala lembu merah itu.
Empat orang anak remaja saya semua mendaftar sebagai pemilih setelah genap 21 tahun dan pada PRU14 Mei tahun lalu mereka menggunakan hak sebagai pemilih.
Kini dengan lebih tujuh juta lagi remaja yang layak didaftarkan sebagai pemilih, tentu sekali ada kesannya terhadap pola pemilihan pada PRU15.
Tetapi tujuh juta pemilih baru itu tidak akan memberi makna sekiranya mereka tidak keluar mengundi.
Dulu 21, kini 18 sudah dikira matang. Buktikan kematangan dengan mengundi bila tiba masanya nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!