Kunjungi pameran artifak Rasulullah SAW bermula 22 Julai ini

Razali (dua dari kanan) dan penaja pameran berkenaan, Datuk Mohamed Hadi Putera Halim atau Adi Putra yang juga selebriti terkenal ketika mengumumkan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA yang bakal berlangsung bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan di Kuala Lumpur.
Razali (dua dari kanan) dan penaja pameran berkenaan, Datuk Mohamed Hadi Putera Halim atau Adi Putra yang juga selebriti terkenal ketika mengumumkan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA yang bakal berlangsung bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan di Kuala Lumpur.
A
A
A

LEBIH 49 artifak Rasulullah SAW, sahabat baginda dan kerajaan Uthmaniah bakal dipamerkan pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan.

Pameran yang berlangsung selama dua minggu anjuran Manhajj Brothers Sdn Bhd itu bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Pengarah projek pameran berkenaan, Razali Bachik berkata, acara itu akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW, selain kegemilangan tamadun Islam.

Antara artifak yang boleh dilihat ialah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zamzam, pasir makam Rasulullah SAW dan kunci makam tersebut.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri pedang Muaz bin Jabal, pedang Sultan al-Fatih, kiswah Kaabah merah, kiswah Kaabah hijau dan kunci Makam Saidatina Fatimah.

“Turut dipamerkan, artifak peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran emas kiswah Kaabah dan kiswah pintu taubat yang mana semua artifak itu merupakan koleksi dari Tanah Arab seperti Makkah dan Madinah serta Yemen dan Turki,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya menyasarkan 150,000 pengunjung akan hadir ke pameran berkenaan yang turut mendapat sokongan penuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurutnya, Kuala Lumpur menjadi lokasi pertama pameran tersebut pada tahun ini, sebelum menjelajah di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA itu memasuki penganjuran kali ke-10 pada tahun ini.

"Sebelum ini, kami pernah menjelajah ke luar negara seperti Brunei, Singapura, selain Padang dan Medan di Indonesia," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi pameran itu, tiket masuk berharga RM20 untuk dewasa, RM10 untuk mahasiswa, manakala kanak-kanak pula RM5.

Sepanjang tempoh pameran, ia dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang mengikuti cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa motosikal Yamaha Y15 menerusi peraduan 'Ride To Y-Suku'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!