Lang Merah mahu hadiahkan Piala FA kepada penyokong
PASUKAN Kedah bertekad memberi persembahan terbaik pada perlawanan akhir Piala FA menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini, sekali gus merangkul trofi kejuaraan untuk dihadiahkan kepada penyokongnya.
Kapten skuad Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, persediaan pasukannya setakat ini berada pada tahap begitu baik dan tumpuan diberikan sepenuhnya semasa latihan dengan panduan jurulatih.
Baddrol berkata, pasukannya juga mempunyai keharmonian serta momentum terbaik untuk menghadapi perlawanan akhir itu nanti.
“Kalau ada rezeki Kedah pada tahun ini kami (akan) menghadiahkan piala itu (Piala FA) kepada penyokong Kedah dan pasukan, itu satu janji kami kepada penyokong,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini.
Katanya walaupun dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman baru-baru ini, pasukannya berjaya menewaskan Perak 4-2, ia tidak memberi keselesaan kepada pasukannya dan tidak memandang rendah pada situasi itu.
"Mungkin pasukan Perak ada menyimpan sesuatu... jadi bagi kami, akan terus pandang ke hadapan dan akan fokus,” kata Baddrol.
Dalam pada itu, beliau berkata perlawanan menentang Felda United untuk saingan Liga Super selepas ini sangat penting kerana Kedah memerlukan tiga mata penting untuk mengekalkan kedudukan tangga ketiga dan berada dalam kelompok lima terbaik.
Skuad Lang Merah akan berhadapan dengan Felda United pada 21 Julai ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!