IPOH - Kerajaan Perak perlu merehatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dituduh merogol pembantu rumah warganegara Indonesia sekiranya tuduhan difailkan terhadap beliau di mahkamah. Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, sekiranya Exco terbabit tidak direhatkan ia disifatkan sebagai awan hitam yang akan menyelubungi Exco berkenaan. "Rogol adalah satu tuduhan yang serius dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seorang Exco kerajaan negeri dan ahli politik kanan dan sekiranya tuduhan difailkan, rakyat mengharapkan pihak berkuasa untuk mendakwa kes ini dengan segera tanpa prejudis. "Jika orang yang dituduh melakukan jenayah serius ini masih meneruskan tugasan rasmi, menjalankan tugas awam dan bertemu dengan orang awam, sudah pasti akan ada awan hitam berarak menyelubungi atas kepalanya dan mengekori setiap langkahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Menurut Wan Norashikin, Wanita UMNO Perak berharap pihak polis melakukan segala yang diperlukan untuk membawa pesalah seksual yang dituduh dengan penuh kuasa undang-undang ke muka pengadilan. "Mangsa rogol yang juga pengadu merupakan pekerja domestik di rumah orang yang dituduh tersebut dan berasal dari negara jiran Indonesia dan sudah pastilah kejadian ini akan membawa kesan diplomatik antara dua negara. "Masyarakat mahukan siasatan yang menyeluruh terhadap kes ini dan sekiranya tuduhan ini benar maka hukuman yang keras hendaklah dikenakan di sisi undang-undang," katanya.ARTIKEL BERKAITAN: Kertas siasatan rogol amah disemak pendakwaan