4 jabatan di Pahang cemerlang urus kewangan: Laporan Audit 2018

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Empat jabatan di Pahang mencapai tahap cemerlang bagi prestasi pengurusan kewangan tahun lalu berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Antara empat jabatan itu adalah Jabatan Kerja Raya negeri tersenarai dengan tahap prestasi tertinggi, 94.07 peratus diikuti Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (92.68 peratus), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (91.92 peratus) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (91.60 peratus).

Laporan tersebut berdasarkan hasil pengauditan terhadap 11 jabatan dan agensi di Pahang di mana lima lagi jabatan berada pada tahap baik iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman, Majlis Daerah Raub, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh dengan peratusan pencapaian antara 81.10 hingga 84.66 peratus.

Sementara itu, Pejabat Daerah dan Tanah Maran dengan tahap prestasi mencapai 78.69 peratus dan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut (73.77 peratus) berada pada tahap memuaskan.

Berdasarkan laporan itu, prestasi pengurusan kewangan jabatan dan agensi Pahang bagi tahun 2018 secara keseluruhannya berada pada tahap baik berdasarkan kepada markah keseluruhan pematuhan peraturan pengurusan kewangan.

Bagaimanapun, beberapa jabatan dan agensi perlu meningkatkan dan memantapkan kawalan dalaman pengurusan kewangan bagi mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius.

Justeru tujuh syor digariskan bagi meningkat dan memantapkan kawalan dalaman pengurusan kewangan jabatan terlibat antaranya memastikan pengetahuan dan kemahiran pegawai terlibat dalam pengurusan kewangan dipertingkatkan dengan memberi latihan sewajarnya secara berterusan.

Selain itu, penilaian ke atas kemahiran dan keupayaan pegawai berkenaan juga dilakukan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Turut disyorkan agar pemeriksaan secara menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada kelemahan yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara juga berlaku di bahagian lain memandangkan pengauditan yang dijalankan hanya berdasarkan sampel dan skop yang terhad.

Selain itu, pihak jabatan terlibat juga perlu memastikan isu yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan Unit Audit Dalam diambil tindakan pembetulan dan pencegahan.

Pada masa sama, ketua jabatan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai yang telah dipastikan melakukan ketidakpatuhan serius sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan menjejaskan imej kerajaan.

Menurut syor daripada laporan itu, budaya kerja berasaskan amalan terbaik perlu diwujudkan untuk mengekalkan kecemerlangan tahap prestasi pengurusan kewangan selain menjalankan penyeliaan lebih rapi terhadap kerja yang dilaksanakan pegawai bawahan dalam pengurusan kewangan.

Turut disyorkan agar dilaksanakan sistem pusingan tugas setiap lima tahun terhadap pegawai yang diberi tanggungjawab kewangan untuk memastikan tiada ruang dan peluang untuk pegawai melakukan ketidakpatuhan yang serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!