Tiada pindaan topik subjek sejarah: KPM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak pernah meminda atau membuat semakan semula terhadap kurikulum dan buku teks Sejarah seperti didakwa pihak tertentu.

KPM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kali terakhir semakan kurikulum mata pelajaran itu dilakukan secara berfasa pada tahun 2017 dan kini buku teks serta kurikulum mata pelajaran itu berasaskan kepada semakan yang dibuat pada tahun tersebut.

Sehubungan itu, kementerian meminta mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan usaha menyebarkan sebarang maklumat tidak benar mengenai perkara itu.

"Kohort pertama yang mempelajari mata pelajaran Sejarah dan menggunakan buku teks Sejarah semakan terkini itu adalah murid tingkatan satu pada tahun 2017,yang mana mereka merupakan murid tingkatan empat pada tahun 2020.

"Semakan tahun 2017 ini bermula asalnya pada tahun 2012 melibatkan pakar Sejarah, pensyarah Universiti Awam, guru-guru Cemerlang Sejarah dan pegawai kurikulum di dalam Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah (JKPMPS)Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan timbul dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa buku teks Sejarah tingkatan tiga telah dipinda dengan melibatkan pemansuhan beberapa bab berkaitan pendudukan Jepun di Malaysia dan ancaman Parti Komunis Malaya serta darurat.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil semakan itu juga mendapati tiada mana-mana bahagian yang digugur, dibuang atau dimansuhkan, sebaliknya bahagian berkenaan telah disusun dan diatur semula agar kurikulum yang dipelajari murid lebih kemas dan bersistematik bagi memudahkan pemahaman mereka tentang sejarah negara.

"Kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah disusun secara kronologi mengikut garis masa peristiwa sejarah yang mana tajuk-tajuk yang diajarkan kepada murid adalah secara berkesinambungan daripada tingkatan satu sehingga tingkatan lima supaya murid dapat memahami sejarah negara dengan lebih mendalam.

Artikel Berkaitan:

"Kandungan KSSM Sejarah tingkatan tiga adalah bertemakan kedatangan kuasa asing. Di bawah tema ini, murid diajar tentang campur tangan dan penjajahan kuasa barat dan tindak balas masyarakat tempatan.

"Manakala di bawah tajuk tindak balas masyarakat tempatan, murid didedahkan dengan penentangan penduduk tempatan yang melibatkan pergerakan nasionalis tahap pertama yang bersifat setempat, dan kebijaksanaan Raja Melayu dan pembesar menangani cabaran Barat sehingga melambatkan proses perluasan kuasa Barat di negara kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!