Kereta terbabas, terbalik di bahu jalan
MARANG - “Nasib baik umur panjang lagi," demikian kata Mohd Arif Daniel Mohd Rizal, 17, mangsa terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu Ke Kuantan di Jambu Bongkok, hari ini.
Dalam kejadian lebih kurang jam 7.50 pagi itu, Mohd Arif menaiki kereta dipandu rakannya dan dalam perjalanan pulang ke Dungun, kereta hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan.
“Saya tengah tidur masa tu...Dan bermimpi ada orang gerakan kita (kejutkan saya) tapi apabila buka mata, ada orang tarik saya dan kemalangan itu sudah berlaku. Saya tak tahu apa yang berlaku sebelum itu.
"Nasib baik panjang lagi umur saya dan hanya rasa sakit di bahu, tak boleh nak gagoh (angkat)," katanya turut memaklumkan baharu sahaja mengenali rakannya itu kepada Sinar Harian, hari ini.
Kedua-dua mangsa terbabit kemudianya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mercang untuk mendapatkan rawatan namun dibenarkan pulang selepas didapati tidak mengalami kecederaan serius.
Bagaimanapun, Sinar Harian gagal mendapatkan rakan Mohd Arif yang memandu kenderaan tersebut namun difahamkan kereta yang dipandu pemuda terbabit milik ahli keluarganya.
Sementara itu, bapa Mohd Arif, Mohd Rizal Musa pula lega dan bersyukur apabila anak dan rakan anaknya itu hanya mengalami kecederaan ringan walaupun keadaan kereta dinaiki mereka rosak teruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!