Jangan sibuk gaduh nak ganti PM: Ikatan
SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa kerajaan memberi fokus kepada masalah rakyat dan ekonomi negara berbanding 'sibuk' bergaduh dan 'berebut' mahu menjadi pengganti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, Dr Mahathir sepatutnya diberi ruang melaksanakan tanggungjawab tanpa diganggu-gugat oleh anasir-anasir konspirasi politik.
"Rakyat kini mual dan muak dengan ketiadaan pimpinan berkualiti daripada menteri Pakatan Harapan (PH).
"Keadaan itu akan menyebabkan ekonomi negara akhirnya semakin parah dan rakyat tertekan. Ringgit makin lemah dan pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, keadaan politik sebegini hanya menyebabkan rakyat bertambah muak kerana tiada pimpinan berkualiti daripada menteri PH," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Shahir yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera berkata, dengan pelbagai isu lain yang timbul, ia memberi pelbagai persepsi.
“Ditambah pula isu klip video intim, rakyat makin mual dengan konspirasi seks sebegini.
“Pada masa pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kesahihan video tersebut terdapat pula dakwaan wujudnya klip video intim lain yang menyerupai pemimpin kanan lain dari parti politik sama pula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!