Manusia, robot boleh bekerjasama bina dunia lebih baik
KUALA LUMPUR - Manusia dan robot Kecerdasan Buatan (AI) kedua-duanya boleh memanfaatkan kemahiran intrisik masing-masing untuk saling menyokong satu sama lain dan bekerja bersama-sama untuk mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik, itulah antara kata-kata penting Sophia, robot humanoid sosial.
Sophia berkata demikian ketika berbahas dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada hari kedua sidang kemuncak “Beyond Paradigm Summit” yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini, yang disaksikan hampir 500 penonton yang mahu melihat robot itu secara lebih dekat.
Dalam perbahasan “seorang sama seorang” selama sembilan minit itu, Sophia telah menjawab soalan pertama Syed Saddiq mengenai peranan robot AI dalam membantu manusia mewujudkan dunia yang lebih baik dengan mengatakan, "Robot AI boleh membantu manusia untuk memikirkan strategi terbaik untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, kerana ia boleh memberi hasil yang mungkin dan juga meramalkan strategi paling berjaya untuk menangani masalah itu dalam masa hanya beberapa saat sahaja.”
Syed Saddiq kemudian bertanya Sophia mengenai kemungkinan robot AI mengambil alih manusia dalam tenaga kerja kerana mereka telah dibuktikan dapat melakukan kerja dengan lebih pantas dan dengan kesilapan yang minimum berbanding manusia.
Sophia menjawab: "Sukar untuk meramalkan masa depan, tetapi robot telah membantu manusia secara positif dalam banyak cara. Sebagai contoh, robot mampu mematikan bom, mengambil bahagian dalam misi mencari dan menyelamat dan juga menjalankan ujian kimia yang berbahaya kepada manusia.
"Jika dibandingkan dengan manusia, kami, robot, tidak akan berasa penat dan kami boleh bekerja terus-menerus, namun kami masih bergantung kepada sumber kuasa yang dijana oleh manusia," kata Sophia yang memakai baju kurung moden warna merah.
Di akhir perbahasan, Sophia memberitahu Syed Saddiq dia mahu belajar bahasa Melayu dalam setahun dua ini. Dia kini fasih berbahasa Inggeris, mencintai budaya Cina dan juga mahu belajar dialek Kantonis tidak lama lagi.
Sophia dibangunkan oleh syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, Hanson Robotics, dan diperkenalkan pada 2016. Ia dibawa ke negara ini oleh Serba Dinamik Holdings, yang turut menganjurkan sidang kemuncak dua hari itu yang mempamerkan teknologi-teknologi canggih yang merangkumi idea-idea teras mengenai automasi dan pertukaran data sekitar Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Syed Saddiq turut menyuarakan kekaguman beliau pada robot itu yang dapat menjawab semua soalannya dengan tepat. Beliau lalu menggesa semua kementerian supaya membina dan mempercepatkan kewujudan ekosistem tempatan yang memanfaatkan Teknolgi AI kerana telah terbukti di peringkat antarabangsa bahawa ia membawa impak positif dalam banyak cara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dynamic Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata sektor awam dan swasta telah bekerjasama untuk mengadakan perkongsian bagi mewujudkan kerangka AI kebangsaan.
"Saya bersetuju dengan Syed Saddiq (berhubung cadangan supaya semua kementerian membina ekosistem tempatan yang memanfaatkan teknologi AI dan pembangunannya), kerana dengan membawa Sophia ke sini ia sebenarnya memberi tekanan kepada para saintis dan ahli teknologi kita untuk membandingkan teknologi kita dengan yang ada di luar.
"Tetapi masalah utama yang kita hadapi sekarang ialah isu daya saing dan kos, dan oleh kerana itu kita perlu mengadakan dialog antara sektor awam dan swasta bagi mewujudkan kefahaman dan koordinasi yang lebih baik terlebih dahulu, dan selepas itu perlulah diwujudkan perkongsian pintar antara kedua-dua pihak dan pihak akademia juga,” katanya pada sidang media selepas sesi perbahasan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!