Cara terbaik lupus rambut wanita
RAMBUT ialah aurat bagi wanita dan ia perlu memeliharanya daripada dilihat oleh mereka yang bukan mahram.
Sepertimana orang lain, golongan wanita juga akan memotong rambut mereka.
Namun, bagaimanakah cara yang sesuai dan terbaik untuk membuang atau melupuskan rambut yang telah dipotong supaya aurat wanita itu tidak dilihat oleh sesiapa pun?
Benar, rambut ialah bahagian yang wajib ditutup oleh wanita supaya tidak didedahkan kepada selain mahramnya.
Justeru, ia wajib dijaga oleh setiap Muslimah kerana ia merupakan kewajipan.
Asal hukum memotong rambut bagi wanita adalah diharuskan syarak, tetapi mestilah tidak menyerupai lelaki, meniru orang-orang kafir dan selainnya.
Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim yang mana Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut mereka.
Para ulama berbeza pandangan dan pendapat berkenaan hukum rambut wanita yang telah dipotong sama ada ia dikira sebagai aurat atau tidak.
Mazhab Syafie menyatakan, ia ialah aurat dan wajib dipelihara daripada pandangan bukan mahram. Sementara itu, Mazhab Hanbali tidak menganggapnya sebagai aurat kerana ia perkara yang sukar dielakkan seperti rambut, bulu dan selainnya.
Adapun, cara menguruskannya yang paling terbaik adalah dengan menanamnya dan ia termasuklah kuku dan bulu-bulu seperti pandangan Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dalam Mazhab Syafie.
Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis buku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!