LRT: Pulau Pinang jalankan sesi pendengaran awam
GEORGETOWN - Kerajaan negeri akan mengadakan proses pemeriksaan awam bagi mendapatkan pandangan rakyat di negeri ini berhubung projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang diluluskan kerajaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia selaras dengan Seksyen 84 Akta Pengangkutan Darat 2010 yang mana kerajaan negeri sebagai pemilik projek perlu memulakan proses berkenaan termasuk menyerahkan pelan, keratan mengikut skala dan buku rujukan untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai.
Menurutnya, proses berkenaan merupakan satu keperluan yang mesti dipenuhi sebelum skim kereta api LRT Bayan Lepas mendapat kelulusan muktamad daripada Kementerian Pengangkutan.
"Pemeriksaan awam ini juga merupakan platform yang membolehkan orang awam, pihak berkepentingan dan sesiapa sahaja untuk meneliti dan memeriksa segala butiran projek LRT Bayan Lepas bagi memberi pandangan dan maklum balas mereka.
"Mereka boleh menyampaikan pandangan secara bertulis atau melalui atas talian (online) dan kesemua maklum balas yang diterima akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk penambahbaikan cadangan projek ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pembinaan Antarabangsa Pulau Pinang di sini pagi tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan barisan Exco kerajaan negeri.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kelulusan bersyarat skim kereta api projek LRT Bayan Lepas mengikut Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Ia termasuk kelulusan Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitaruntuk p rojek itu dan Penang South Reclamation, kajian Social Impact Assessment, kajian Heritage Impact Assessment, kajian Traffic Impact Assessment serta syarat lain yang mengambil kira faktor teknikal, sosial dan kawal selia yang berkesan secara menyeluruh.
Menurutnya, penglibatan dan maklum balas daripada orang awam, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam proses pemeriksaan awam bagi penilaian projek itu selaras dengan peruntukan di bawah akta dan ia sekali gus menggambarkan prinsip pentadbiran demokrasi dan terbuka diamalkan kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bercadang akan memulakan sesi pemeriksaan awam itu pada pertengahan bulan Ogos dan proses berkenaan akan berlangsung selama tiga bulan.
Katanya, bagi kemudahan semua rakyat negeri ini, proses pemeriksaan awam akan dilakukan di tiga lokasi tetap iaitu Komtar, Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pejabat APAD Pulau Pinang dan ibu pejabat APAD di Putrajaya.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan menyediakan enam gerai mudah alih yang akan ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah dan hab-hab pengangkutan.
"Kita juga akan membuka gerai di kawasan yang terlibat dengan pembinaan projek jajaran ini agar penduduk di sekitar kawasan yang terbabit boleh turut serta memberi pandangan mereka terhadap projek yang dilaksanakan kerajaan negeri nanti," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai dan pihak yang berminat untuk mengambil kesempatan ini dan menggunakan sepenuhnya tempoh kajian selama tiga bulan untuk memberi maklum balas supaya projek yang akan dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar dan berfungsi dengan lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!