Berkomunikasilah cara Rasulullah SAW

Untuk berkomunikasi positif, padamkanlah dahulu perkara negatif dan elakkan kata-kata yang boleh mengundang dosa, mengganggu fikiran dan membuatkan orang lain berasa sedih tidak kiralah di mana sahaja kita berada. -GAMBAR HIASAN.
Untuk berkomunikasi positif, padamkanlah dahulu perkara negatif dan elakkan kata-kata yang boleh mengundang dosa, mengganggu fikiran dan membuatkan orang lain berasa sedih tidak kiralah di mana sahaja kita berada. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

MANUSIA diberi nikmat yang besar oleh ALLAH SWT untuk bertutur. Dengan bercakap, kita dapat menyampaikan mesej dan meluahkan rasa hati. Namun silap cakap, ia boleh menempah diri kita ke neraka. Nauzubillah.

Melihat kepentingan perkara itu, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASI) menganjurkan Siri Quran Berjalan (SBQ) 2019 ke-5 bertajuk Komunikasi Nabi Muhammad: Positif dari Rumah ke Pejabat yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada program itu, Pengurus Latihan ASI, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah dan pengkaji hadis dan sirah, Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof berkongsi ilmu mengenai teknik komunikasi Rasulullah SAW.

Mereka berharap, perkongsian itu boleh dijadikan panduan dalam meningkatkan kemahiran komunikasi harian kita di rumah, di pejabat mahupun di mana-mana pun.

Jelas Ustaz Mohd Harfiz, Surah al-Asr menceritakan kelangsungan hidup dalam beriman untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan amal soleh. Visi umat Nabi Muhammad SAW ialah kembali kepada ALLAH.

Oleh itu, katanya, cara fikir dan hidup untuk mendekati ALLAH adalah dengan mengajak, memanggil dan sentiasa ingat-mengingatkan antara satu sama lain dengan orang sekeliling kita.

"Untuk buat baik secara konsisten seorang diri sesuatu yang sukar. Oleh itu, kita perlukan orang sekeliling yang boleh nasihat dan menasihatkan serta dilakukan dengan penuh kesabaran. Ia sebagaimana disebut dalam Surah al-Asr," katanya pada program berkenaan baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dan ucapkanlah perkataan yang benar. Nescaya ALLAH akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan sesiapa yang mentaati ALLAH dan rasul-Nya, sesungguhnya dia menang dengan kemenangan yang agung.” (Surah al-Ahzab, ayat 70-71)

Artikel Berkaitan:

Takwa

USTAZ MOHD HARFIZ
USTAZ MOHD HARFIZ

Berdasarkan ayat 70 dalam Surah Al-Ahzab, Ustaz Mohd Harfiz berkata, takwa ialah perihal hati. Teknik komunikasi paling kukuh sebenarnya berasaskan takwa kepada ALLAH.

"Dari hati, maka keluar perkataan menerusi lisan. Orang yang beriman dan bertakwa sentiasa menjaga lisannya. Oleh itu, kata-kata orang sebegini mudah meresap ke dalam hati orang yang mendengar.

"Sebelum berbicara, dia akan fikirkan apakah ALLAH reda dengan apa yang hendak diucapkan? Orang beriman melindungi kata-katanya daripada mendatangkan bahaya terutamanya menjadi bahan api neraka," katanya.

Beliau menambah, orang yang percayakan ALLAH dan hari akhirat akan bercakap perkara baik atau diam.

"Kita hendaklah melindungi diri daripada api neraka dengan menjaga kata-kata,” ujarnya.

Padam komunikasi negatif

USTAZ AHMAD SAIFUDDIN
USTAZ AHMAD SAIFUDDIN

Sementara itu, Ustaz Ahmad Saifuddin memfokuskan teknik komunikasi Rasulullah SAW dengan bertadabur beberapa hadis pilihan.

Untuk berkomunikasi positif, kata beliau, kita mesti padamkan dahulu perkara negatif.

Komunikasi negatif ialah kata-kata yang mendapat dosa iaitu mengumpat, mengata dan memaki. Ada juga komunikasi yang tidak berdosa, tetapi negatif yang boleh mengganggu fikiran dan membuatkan rasa sedih.

"Rasulullah SAW pernah mengalami pelbagai cabaran dan musibah yang menimpa dirinya, tetapi baginda tidak pernah menceritakan peristiwa pahit tersebut melainkan ditanya. Itu merupakan kaedah cara padam komunikasi negatif.

"Oleh itu, berhentilah daripada menceritakan musibah peribadi, sebaliknya kongsi perkara yang menyeronokkan. Selain itu, Rasulullah SAW tidak pernah mengungkit kesalahan orang lain melainkan kebaikan orang itu.

"Perkara yang lepas biarlah berlalu dan apa yang penting ialah sekarang. Hati sedih boleh merosakkan kehidupan hari-hari mendatang. Itulah antara cara untuk mengelakkan tekanan dalam hidup. Biarpun ada kenangan pahit atau tidak menyeronokkan, asalkan tidak merungut. Rasulullah SAW juga tidak menceritakan perkara remeh-temeh kecuali ada orang bertanya," katanya.

Apakah asas kepada komunikasi Rasulullah SAW? Kata Ustaz Ahmad Saifuddin, asasnya ialah individu dan perbuatan.

Ujarnya, baginda SAW tidak berkata mengenai diri individu tersebut, tetapi perbuatannya. Ini bermakna, kita tidak boleh menilai orang secara luaran.

Selain itu, apabila seseorang itu melakukan kesalahan, antara teknik teguran yang dilakukan Rasulullah SAW adalah dengan menerangkan peraturan.

Baginda SAW mengenal pasti kesilapan dan kesalahan tersebut dengan memberi penjelasan serta menghukum jika berkaitan dengan syariat, tetapi tidak pernah menyiasat ‘kenapa’ dan ‘mengapa’.

"Menyiasat akan memberi kesan buruk kerana orang tersebut terpaksa menceritakan aibnya. Dia akan berasa bersalah, berdosa, sedih dan tertekan. Sebaliknya, Rasulullah SAW memberi jalan penyelesaian selepas menegur kesalahan seseorang itu," jelas beliau.

Ikuti panduan daripada junjungan Rasulullah SAW. Baginda bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam." (Riwayat al-Bukhari)

Untuk maklumat lanjut Siri Quran Berjalan 2019, boleh layari https://www.facebook.com/akademisinergi/.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!