'Jangan panik kemunculan paus'
KUALA TERENGGANU - Orang ramai tidak perlu takut dan panik dengan kemunculan sepasang paus Orca atau dikenali sebagai Killer Whale berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada Selasa lalu.
Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, ikan paus itu mungkin tersesat sewaktu mencari makanan dan percaya, mamalia itu akan kembali ke habitat asalnya.
“Sebenarnya kita juga terkejut dengan kehadiran ikan paus ini kerana ia jarang ditemui di perairan Asia, biasanya banyak membiak di kawasan Amerika Selatan. Ikan ini biasanya bergerak dalam kumpulan, kalau dua ekor, mungkin hanya dua ekor itu sahaja.
“Kita tak menolak kemungkinan ikan paus ini tersesat. Ikan ini biasanya berada di negara yang beriklim sejuk sedangkan Malaysia beriklim panas.
"Kalau ada pun yang tersesat, tidak akan lama sebab cuaca tidak bersesuaian. Kita percaya dia akan berpatah balik ke habitat asalnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Kemunculan paus Orca di perairan Terengganu itu disedari beberapa kakitangan Petronas yang berjaya merakam pergerakan mamalia berkenaan.
Bagaimanapun, timbul kegusaran sesetengah pihak kemungkinan ikan paus itu boleh mengancam nyawa dan adakah perairan Terengganu selamat.
Mengulas lanjut, Zawawi berkata, ikan paus tersebut tidak akan menghampiri pesisiran pantai berbanding habitat pemangsa lain seperti jerung putih yang memilih untuk mendekati pantai.
“Kalau jerung putih memang ada beranak di pantai, sebab itu ada sesetengah orang takut mandi di pantai. Di perairan Malaysia setakat ini orang pernah nampak kehadirannya di Pahang beberapa tahun lalu ketika sedang makan ikan.
“Di Terengganu juga pernah dijumpai sekitar hujung 1970-an ke awal 1980-an, tapi ia tidak mengganggu kerana laut kita kaya dengan sumber ikan. Tak pernah dalam sejarah negara, jerung putih ini menyerang orang sebab perairan kita banyak makanan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengancam atau cuba membunuh paus Orca memandangkan ia spesies terancam.
Katanya, Jabatan Perikanan sentiasa melindungi spesies marin terancam itu melalui penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019.
“Sesiapa sahaja yang menemui spesies marin terancam, perlu menghubungi mana-mana pejabat perikanan daerah atau negeri atau Institut Penyelidikan Perikanan terdekat dengan segera kerana ini boleh menyelamatkan nyawa spesies marin terancam itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!