ATM sasar nisbah 1:1 angkatan tetap, simpanan
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan nisbah kekuatan 1:1 angkatan tetap dan Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) pada 2023.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata bagi mencapai sasaran berkenaan, ATM telah berusaha mempertingkatkan pengambilan anggota PSTD sejak 2016.
“Kekuatan semasa PSTD berjumlah 48,297 dan memerlukan tambahan 31,703 anggota untuk mencapai garis dasar 80,000 anggota.
“Kita optimis nisbah 1:1 angkatan tetap berbanding PSTD berjaya dicapai pada 2023,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu perancangan atau hala tuju Askar Wataniah serta adakah kerajaan berhasrat memperluaskan skop dan peranannya.
Mohamad berkata PSTD memainkan peranan penting dalam membantu angkatan tetap mempertahankan negara pada waktu darurat atau perang serta dalam operasi keselamatan dalam negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!