Langgar syarat: AADK tangkap wanita hamil
JERTIH - Gara-gara ingkar perintah pengawasan dadah, seorang wanita hamil lima bulan antara 14 individu diberkas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Perdana Langgar Syarat di sekitar daerah Besut.
Wanita berusia 31 tahun itu diberkas bersama 13 penagih lain yang berusia 25 hingga 52 tahun dalam operasi bermula jam 11 malam berakhir 12 tengah hari tadi.
Penolong Pegawai Antidadah, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Terengganu, Wan Azlan Wan Abd Kadir berkata, tumpuan operasi adalah mengesan penagih yang sebelum ini pernah dijatuhi hukuman oleh mahkamah untuk menjalani pengawasan.
“Wanita hamil itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Darau, Hulu Besut manakala individu lain ditahan di lokasi berasingan di Kuala Besut, Kampung Raja, Jertih termasuk beberapa tempat di Hulu Besut,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(2)(f) kerana tidak hadir program pemulihan AADK manakala yang lain ditahan mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atas kesalahan gagal melapor diri di balai polis.
“Seorang ditahan mengikut Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana mengambil dadah dalam tempoh pengawasan," katanya.
Wan Azlan berkata, operasi serentak di daerah Besut itu membabitkan 20 anggota AADK Terengganu, Besut dan daerah lain yang tertumpu dari rumah ke rumah.
Katanya, antara cabaran dihadapi anggotanya sepanjang operasi itu termasuk dimarahi oleh keluarga pesalah.
"Ada kes ibu pesalah bertindak memarahi kami dan memberi alasan anaknya tidak ada di rumah dan bekerja di Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!