'Saya sedih lihat apa terjadi antara Anwar, Azmin...'

Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disarankan untuk berbincang bagi menghentikan ketegangan antara mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, persahabatan antara Anwar dan Mohamed Azmin harus dikekalkan kerana banyak kerja yang perlu dibangunkan bersama dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kedua-dua pemimpin itu harus bersatu hati demi PKR dan PH. Mereka harus duduk berbincang bagaimana untuk mengukuhkan persahabatan antara kedua-duanya.

“Kerana banyak lagi tugas dan kerja yang perlu kita bangunkan bersama dengan PH,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengakui sedih dengan konflik yang membelenggu kedua-dua pimpinan tertinggi PKR itu.

“Saya akui sedih dengan apa yang terjadi antara Anwar dan Mohamed Azmin ini.

“Tapi kedua-dua mereka kena berjiwa besar kerana Presiden dan Timbalan Presiden PKR harus bersatu hati.

“Saya yakin sekiranya ada perjumpaan antara mereka berdua, ketegangan ini akan reda. Kita masih berharap hubungan mereka ada harapan, Insya-ALLAH mudah-mudahan okey,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat turut tersenarai antara 28 pimpinan yang menandatangani kenyataan bersama menegur Anwar, menjelaskan mesejnya jelas iaitu menghentikan polemik dalaman parti.

“Dulu Anwar pernah berdepan situasi sama dengan Azmin, kita anak beranak, mak, bapak bersatu. Mesej kami jelas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!