'Kami tak ponteng sekolah'

Muhammad Danial bersama Nik Muhammad (dua dari kanan) dan guru-guru SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2 selepas sidang media pagi tadi.
Muhammad Danial bersama Nik Muhammad (dua dari kanan) dan guru-guru SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2 selepas sidang media pagi tadi.
A
A
A

TANAH MERAH - Abang sulung empat beradik yang tular kisah mereka bergilir ponteng sekolah akibat desakan hidup merupakan pelajar berpotensi dan mempunyai rekod kedatangan yang baik di sekolah.

Muhammad Danial Edurus, 13, berkata, dia tidak bergilir ponteng sekolah, namun akui ada ketikanya tidak ke sekolah kerana perlu menjaga adiknya yang kurang upaya atau ketika mengalami masalah kesihatan sahaja.

Malah katanya, dia tidak sanggup ponteng sekolah dan rela menumpang jiran ke sekolah setiap hari demi mahu mengubah nasib keluarganya.

"Walaupun saya terpaksa menjaga adik ketiga yang alami masalah autisme selepas balik sekolah, itu bukan alasan untuk ponteng sekolah.

"Saya yakin hanya dengan pelajaran dapat meningkatkan diri dan mengubah nasib keluarga suatu hari nanti," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mahmud Paduka Raja 2 di sini hari ini.

Justeru Muhammad Danial yang bercita-cita menjadi saintis mengharapkan supaya orang ramai tidak terus mengecam keluarganya berhubung berita yang tular sebelum ini.

"Saya tidak akan menjadikan alasan kesukaran hidup untuk tidak ke sekolah, malah ini sebagai cabaran dan dorongan saya untuk terus belajar dan berjaya dalam akademik.

"Apa yang saya harapkan kini, saya sebagai anak sulung dapat bantu keluarga dan jaga adik-adik serta nenek yang banyak mengorbankan masa untuk menjaga kami ketika ketiadaan kedua ibu bapa kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengetua SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2, Nik Muhamad Nik Lib berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan pelajar seperti Muhammad Danial.

"Malah pelajar berpotensi seperti dia amat dibanggakan pihak sekolah. Walaupun berasal dari keluarga susah namun masih bersemangat ke sekolah.

"Dia yang belajar di Tingkatan Satu Kelas Rancangan Khas (KRK) merupakan pelajar yang berpotensi dan perlu digilap agar terus cemerlang dalam akademik," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan akibat kesempitan hidup, tiga daripada empat beradik di Kampung Bukit Kechik, Gual Ipoh terpaksa bergilir ponteng sekolah berikutan tidak mampu menyediakan wang belanja mencukupi.

Perkara tersebut diluahkan nenek mereka, Limah Loman, 68, yang terpaksa memikul tanggungjawab menjaga empat cucunya itu selepas ibu bapa mereka berpisah dengan hanya mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!