SUK Selangor catat pencapaian cemerlang HRMIS
SHAH ALAM - Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor mencatatkan pencapaian cemerlang apabila Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mencapai tahap 100 peratus atau lima bintang bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2016 lalu.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia SUK Selangor, Muhammad Yasir Yahya berkata, pencapaian tersebut sekali gus menunjukkan bahawa pelaksanaan sistem HRMIS itu dalam pentadbiran SUK Selangor membuahkan hasil yang positif.
Menurutnya, berikutan itu, pentadbiran SUK Selangor berazam untuk terus mengekalkan kecemerlangan tersebut bagi tahun ini dan masa hadapan.
"Bagi kriteria empat untuk pencapaian KPI HRMIS pada tahun ini, pihak kami telah berjaya mencapai tahap 100 peratus berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga 31 Mei lalu.
"Pentadbiran SUK Selangor juga melakukan pemantauan yang teliti secara proaktif dari masa ke semasa untuk memastikan lima KPI lain juga mencapai tahap yang sama untuk tahun ini," katanya pada Pelancaran Bulan HRMIS Peringkat Selangor yang berlangsung di Dewan Jubli Perak hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Yasir berkata, pelaksanaan HRMIS di SUK Selangor telah menjadi amalan wajib kepada semua pegawai serta kakitangan terutama dalam urusan seperti permohonan cuti, permohonan surat jaminan, pelaksanaan sasaran kerja tahunan dan pelbagai lagi.
Beliau berkata, pentadbiran SUK Selangor juga secara terus menerus menggalakkan setiap warga kerja untuk menggunakan sistem HRMIS yang ternyata lebih memberi kemudahan buat mereka.
"Kami sangat komited dalam memodenkan urusan pentadbiran SUK Selangor selaras dengan matlamat menjadikan negeri ini sebagai Smart State di rantau Asia menjelang 2025," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!