12 petinju profesional Muay Thai berentap di Terengganu
PETINJU dari Thailand dan Brazil antara 12 petinju profesional Muay Thai yang akan bertarung pada kejohanan Terengganu Fight 2019 pada 2 Ogos depan.
Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Terengganu (PMTNT), Najmi Abdullah berkata, kejohanan akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak bermula jam 9 malam dan menariknya, tiada bayaran masuk dikenakan.
Menurutnya, ia adalah inisiatif PMTNT dan Pertubuhan Kebajikan Bumiputera Malaysia dengan kerjasama kerajaan Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
“Antara petinju yang akan beraksi ialah Rungravee Sasiprapa dari Thailand, Felipe Lobo Amantha dari Brazil, Ayoub Sadam Sergama dari Algeria dan Latxasak Souliyavong dari Laos.
“Kita juga akan menampilkan kepten pasukan Muay Thai Malaysia kelahiran Terengganu iaitu Muhamad Ali Yaakub dan pemenang pingat emas Sukan Sea 2017, Ain Kamaruddin yang pastinya akan menghangatkan lagi perlawanan ini,” katanya.
Najmi berkata, antara perlawanan tumpuan pastinya melibatkan petinju Thailand iaitu Rungravee dan Felipe dari Brazil.
Katanya, pihaknya menyasarkan akan dapat menarik antara 3,000 ke 4,000 penonton pada kejohanan itu nanti.
“Antara matlamat utama kita adalah untuk menarik lebih ramai peminat sukan Muay Thai terutamanya anak muda.
“Jika sambutan yang diterima nanti menggalakkan, kita berhasrat untuk mengadakan pertandingan Muay Thai di setiap daerah di negeri ini bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan di samping mempromosikan sukan ini kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!