OKU miliki bakat istimewa

Pasangan istimewa Zainul Abidin dan Siti Rohani bertemu jodoh melalui radio.
Pasangan istimewa Zainul Abidin dan Siti Rohani bertemu jodoh melalui radio.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah atas kekurangan diri yang dihadapi namun, Zainul Abidin Shaari, 72, mampu menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan baik.

Malah, pengetahuannya cukup luas kerana pernah bergelar wartawan rencana dan penulis cerpen radio suatu ketika dahulu.

Dia yang hanya mengesot untuk melakukan sebarang pergerakan, dilahirkan normal namun lumpuh selepas diserang demam panas ketika berusia 5 tahun.

Zainul atau lebih mesra dipanggil Paksu, menggunakan nama pena Ramlan Shaari, mula belajar membaca dan menulis secara tidak formal atas galakkan bapanya.

"Setiap hari arwah bapa bawa balik surat khabar suruh saya baca, dari situ timbul minat membaca dan boleh menulis," jelasnya.

Hasil penulisannya pernah disiarkan akhbar tempatan dan diperdengarkan di radio yang juga dijadikan sebagai pendapatan sampingan selain membaiki televisyen dan radio.

Pasangannya, Siti Rohani Che Yin@Mat Saad, 50, juga berstatus kurang upaya kerana kaki kirinya membengkok sejak dilahirkan.

Kedua-duanya bertemu jodoh di radio apabila Siti Rohani yang merupakan peminat cerpen radio telah menghantar surat kepada penulis itu.

Artikel Berkaitan:

Program Ziarah Sinar Kasih tanggungjawab sosial korporat The Purest Hotel bersama kakitangan agensi kerajaan serta rukun tetangga ke rumah pasangan istimewa Zainul dan Siti Rohani.
Program Ziarah Sinar Kasih tanggungjawab sosial korporat The Purest Hotel bersama kakitangan agensi kerajaan serta rukun tetangga ke rumah pasangan istimewa Zainul dan Siti Rohani.

"Saya dapat banyak surat dari peminat tetapi surat dia agak berlainan kerana ditulis dengan perkataan 'kita serupa'.

"Selepas berbalas surat, dia hantar gambar, baru saya tahu dia juga berstatus orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Pasangan istimewa itu akhirnya berkahwin dan dikurniakan seorang anak, Mohd Amirul Danish kini berusia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 2016, mereka dilanda musibah apabila rumah yang mereka duduki di Kampung Bakar Kapor, Sungai Petani terbakar.

Dalam kebakaran itu, bukan sahaja rumah dan motosikal roda tiga miliknya musnah, namun hasil penulisan yang dikumpulkan juga hangus.

Sehingga kini, Zainul tidak lagi mempunyai kenderaan untuk bergerak menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan jiran atau saudara terdekat untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Dia juga tidak lagi mampu menulis dan hanya menggunakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

"Kalau nak ikutkan memang tidak mencukupi, ada juga orang bagi sumbangan tetapi bukan selalu," jelasnya.

Semalam, pasangan itu dikunjungi kakitangan Pejabat Perpaduan Daerah, JKM, rukun tetangga dan The Purest Hotel melalui Program Ziarah Sinar Kasih bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Mereka diberikan hamper dan beberapa sumbangan lain selain sokongan moral dan motivasi agar terus bersemangat untuk meneruskan hidup.

Orang ramai juga boleh membantu pasangan istimewa ini, melalui akaun RHB Bank bernombor 1002069-0005970-8 atas nama Zainul Abidin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!