Membangun dengan acuan sendiri
KINI kehidupan masyarakat terkawal oleh teknologi.
Sementara semua akur bahawa teknologi membawa kesenangan dan keselesaan, akan tetapi tidak dapat dinafikan telah terlihat tanda kerapuhan nilai, stres, kemurungan, rasa kekosongan, hilang daya kawal diri, kini melanda masyarakat akibat teknologi yang terlalu menguasai kehidupan masyarakat.
Keupayaan berinteraksi dan bergaul semakin rendah dalam masyarakat.
Berbual secara bersemuka tidak lagi menjadi keutamaan. Aktiviti harian terikat dengan teknologi.
Hubungan pekerja-majikan dikawal melalui terminal komputer. Interaksi inter-personal semakin mengurang hatta dalam keluarga. Anggota keluarga terheret dalam perhubungan hanya melalui ruang siber.
Media sosial menjadi alat membentuk pendapat awam dan memanipulasi pengundi dengan pembohongan dan kepalsuan.
Presiden Trump, dikenali sebagai seorang yang suka berbohong dan tidak punya sebarang pengalaman pentadbiran awam tetapi melalui media sosial, dalam kempennya, dia terpilih sebagai Presiden negara terkuat di dunia.
Jair Bolosonoro, seorang yang menyokong penyeksaan dan seorang diktator populis telah terpilih sebagai Presiden Brazil.
Beliau tidak ada polisi awam untuk ditawar, selain hanya menyerang lawannya daripada Parti Buruh dan memburukkan calon lawannya, Haddad. Sekumpulan kapitalis Brazil menyuntik berbilion dolar untuk membanjirkan pengundi Brazil dengan pembohongan dan mengedar ratusan juta mesej fitnah dan bohong melalui WhatsApp.
Media sosial di Eropah diguna oleh parti kulit putih nasionalis untuk berkuasa melalui kempen menyemai ketakutan dan kebencian dalam kalangan pengundi kulit putih terhadap golongan imigran dan warga Muslim.
Demokrasi tidak berasaskan moral, akan membawa golongan seperti Trump, Netanyahu and Bolosonoro ke takhta kuasa.
Pokoknya penyelesaian kepada krisis komuniti, keluarga dan alam sekitar memerlukan transformasi radikal dalam cara kita berfikir dan pandangan alam kita.
Yang pasti agama perlu menjadi faktor dan ditempatkan untuk berperanan utama dalam pembentukan masyarakat, urus kelola negara, perundangan dan pelbagai institusi yang diwujudkan.
Seluruh tingkah laku kita mesti berasaskan dan dipandu oleh moral universal dan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kita perlu menghargai dan menghormati alam dengan segala flora dan faunanya sebagai anugerah dan amanah daripada tuhan. Kita terbeban dengan amanah yang perlu dilaksanakan kepada semua ciptaan tuhan.
Alam bukan hanya komoditi untuk dieksploitasi oleh manusia semata-mata akan tetapi diurus supaya ia boleh mengeluarkan makanan, memberi perlindungan dan menikmati keindahannya. Bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi juga untuk generasi masa mendatang.
Sistem ekonomi sekarang berdasarkan pertumbuhan tanpa had, modal persendirian yang diakumulasi, memaksimumkan keuntungan dan pemusatan kuasa ekonomi dalam tangan syarikat konglomerat gergasi.
Ia menjadi punca kepada krisis bukan sahaja krisis ekonomi namun juga ketidakserataan, kerosakan alam, krisis sosial, pengasingan dan peminggiran serta konflik dan peperangan.
Sistem ini mengakibatkan pengeluaran berlebihan, konsumsi keterlaluan, hutang dalam kalangan orang biasa, pencemaran dan pemupusan sumber alam. Ia sistem yang amoral, hanya untuk golongan kaya yang kini dikritik oleh pelbagai pihak dalam kalangan ahli ekonomi dunia.
Kita mendambakan sistem ekonomi yang berasaskan moral yang mengikat.
Kita telah mengutarakan sebuah gagasan membangun dengan acuan sendiri.
Dalam krisis yang sedang melanda masyarakat, ekonomi dan alam sekitar, kita harus insaf bahawa menjadi pengikut model barat yang jelas merosakkan adalah suatu kesilapan.
Acuan yang harus kita bangunkan sudah ada dalam tradisi dan pedoman yang jelas dalam Islam.
Apa yang perlu kita lakukan ialah menyesuaikan pembangunan kita dengan kerangka acuan Islam dan bukan sebaliknya.
Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, kenapa kita harus mencari dan meraba-raba serta mencuba formula lain.
Alam bukan hanya komoditi untuk dieksploitasi oleh manusia semata-mata akan tetapi diurus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!