Harga minyak turun mulai 1 Januari 2019
PUTRAJAYA - Sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun sekarang.
Menurutnya, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019, membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
“Harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu.
“Jika harga petroluem di pasaran dunia meningkat, kenaikan tersebut akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.
“Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, sebarang kenaikan atau penurunan harga sebenar petroleum di pasaran dunia pada bulan semasa akan hanya diselaraskan pada bulan berikutnya.
“Dalam hal ini, trend kenaikan atau penurunan harga sebenar pasaran minyak yang berlaku dalam bulan Disember 2018 akan diterjemahkan dalam penurunan harga runcit minyak pada bulan Januari 2019,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan kerajaan komited mengekalkan harga runcit petrol dan diesel bermula 7 Jun lepas walaupun harga pasaran dunia produk berkenaan terus meningkat secara mendadak pada waktu tersebut.
“Kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak RM7.14 bilion sehingga November 2018, di mana tanggungan subsidi bagi bulan Mei sehingga November 2018 adalah sebanyak RM5.82 bilion.
“Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit petrol dan diesel apabila harga sebenar pasaran melambung lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan melalui pemberian subsidi tetapi secara bersasar, bukannya tersasar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!