Operasi kesan 2 ekor harimau diperluas
DUNGUN - Operasi mengesan dua ekor harimau yang memasuki Kampung Besol Lama di Bukit Besi di sini hari ini diperluaskan kepada 2 kilometer persegi dari lokasi pak belang itu berkeliaran semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, operasi pada hari ini dimulakan jam 6.30 pagi membabitkan 20 kakitangan Perhilitan dan empat anggota polis.
Menurutnya, usaha menjejaki harimau betina dan anak jantannya dilakukan berpandukan tapak kaki haiwan itu yang ditemui dalam hutan kampung tersebut.
"Kita percaya haiwan itu masih berada di dalam hutan berdekatan kampung ini dan kita sudah pasang dua buah perangkap di dalam kawasan hutan.
"Operasi mengesan dua haiwan ini akan kita jalankan hingga kedua-duanya berjaya ditemui dan ditangkap," katanya.
Dua ekor harimau belang berkenaan dikesan berkeliaran di sekitar Kampung Besol kira-kira jam 9 pagi semalam sekali gus menggemparkan penduduk malah turut tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Abdul Malek juga mengingatkan penduduk kampung supaya menghadkan aktiviti di dalam hutan dan kebun bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mendekati haiwan itu jika terserempak kerana ia perbuatan yang sangat berbahaya dan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Pak belang mungkin harimau peliharaan'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!