MB Terengganu duduk bersila atas tikar dengar kuliah
MARANG - Siapa menyangka pemimpin nombor satu negeri ini sanggup duduk bersila beralaskan tikar sambil mendengar kuliah Dhuha di sebuah masjid bersama-sama orang ramai.
Namun, bagi Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan keluarga, ia bukan perkara luar biasa, namun kehadirannya di Dewan Tok Guru di Rusila hari ini menarik perhatian rakyat.
Dr Samsuri dan isteri, Tuan Faizah Abd Rahman serta hadirin secara ‘berjemaah’ duduk bersila di atas tikar sambil mendengar kuliah Dhuha disampaikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagi mereka yang setia mengikuti kuliah mingguan, ini bukan kali pertama bekas setiausaha politik kepada Presiden Pas itu bersama khalayak malah beliau sering dilihat bertemu peniaga di situ sebelum ini.
"Ini satu contoh yang baik kepada rakyat Terengganu dan menyerlahkan sikap rendah diri seorang menteri besar kepada rakyatnya. Kami sebagai rakyat turut bangga," kata salah seorang jemaah, Azlan Mohamad, 36.
Bukan hanya Azlan, malah rata-rata hadirin yang mengikuti kuliah berkenaan bangga kerana mempunyai seorang menteri besar yang mampu menunjukkan contoh dan teladan terbaik kepada rakyat.
Dr Samsuri dan keluarga turut beramah mesra dengan orang ramai dan melayan karenah kanak-kanak yang mahu bersalam dan bergambar bersamanya dan isteri selepas berakhirnya kuliah.
Inilah teladan yang baik ditunjukkan menteri besar selaras dengan saranan kerajaan Terengganu sebelum ini yang mengisytiharkan Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu pula sebagai hari keluarga.
Pemilihan hari Jumaat sebagai hari ilmu adalah bagi memberikan ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk mengikuti kuliah ilmu di beberapa tempat yang dikhaskan oleh kerajaan termasuk Masjid Rusila.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!