Anwar tidak layak jadi PM: Ganapathy
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Cabang Seputeh, P Ganapathy menyifatkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak diangkat menjadi perdana menteri kerana gagal meredakan keretakan dalaman parti itu.
Menurut laporan portal MalaysiaKini, Ganapathy berkata, sebab itulah beliau memilih untuk tidak merayu selepas dipecat daripada PKR, sebaliknya memilih untuk menyerang Anwar kerana baginya bakal perdana menteri kelapan itu tiada wibawa untuk diangkat di kerusi paling atas.
"Saya tidak nafikan bahawa kebelakangan ini saya banyak mengkritik tetapi kritikan saya bukanlah terhadap dasar perjuangan parti, sebaliknya hanya kepada individu yang menerajui PKR, iaitu Anwar Ibrahim. Saya merasakan beliau tidak lagi boleh menjaga parti dengan baik dan gagal memupuk semangat kesatuan ahli apatah lagi Malaysia jika beliau di angkat menjadi perdana menteri.
"Saya rasa beliau sebenarnya tidak lagi layak untuk menerajui PKR apatah lagi menjadi perdana menteri seperti yang dicanang yang oleh pihak-pihak pengampu beliau," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR pecat Ketua Cabang Seputeh, P Ganapathy
PKR semalam memecat Ganapathy atas alasan melanggar disiplin parti dengan menyebar dan memuat naik dalam laman sosial berita tidak benar, memfitnah serta membuat sangkaan jahat kepada pemimpin-pemimpin parti.
Ditanya kenapa tidak mahu merayu atas keputusan itu, dia berkata perkara itu tiada guna selagi Anwar menerajui parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!