Tukang masak panik, lari bawa sudip dan senduk elak dicekup

Antara pekerja restoran masakan Siam yang ditahan oleh Imigresen dalam operasi yang dilakukan malam tadi.
Antara pekerja restoran masakan Siam yang ditahan oleh Imigresen dalam operasi yang dilakukan malam tadi.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Suasana tenang di sebuah restoran masakan Siam di Jalan Hashim Awang, Tasek Gelugor di sini bertukar kecoh apabila sekumpulan 'pelanggan' tiba-tiba masuk untuk melakukan pemeriksaan dalam Ops Bersepadu yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang malam tadi.

Dalam serbuan yang dilakukan pada jam 10 malam itu, lima lelaki warga Thailand yang merupakan tukang masak dan pembantu kedai cuba melarikan diri bagi mengelak daripada diperiksa malah salah seorang daripada mereka turut membawa sudip dan senduk bersama.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila berjaya ditahan anggota serbuan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk berada atau bekerja di Malaysia.

"Siasatan awal mendapati kedai tomyam ini diusahakan oleh salah seorang warga Thailand yang ditahan.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti siapa pemilik premis terbabit untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kita akan kemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan di bawah bidang kuasa PBT sekiranya pemilik premis ini didapati menyewakan premis berkenaan kepada warga asing," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel Berkaitan:

Tukang masak warga Thailand ini cuba melarikan diri dengan membawa sudip dan senduk selepas menyedari kehadiran anggota Imigresen.
Tukang masak warga Thailand ini cuba melarikan diri dengan membawa sudip dan senduk selepas menyedari kehadiran anggota Imigresen.

Sementara itu, dalam operasi yang sama Muhamad Husni berkata, pihaknya menahan 31 lagi warga asing dalam 15 serbuan yang dilakukan pada hari yang sama.

Katanya, pihaknya menyasarkan kedai dan restoran masakan selera Thailand di sekitar kawasan Bukit Mertajam dan Butterworth, kawasan rumah pangsa di Georgetown yang menjadi tempat tinggal warga asing, pondok kawalan keselamatan di beberapa buah kondominium serta beberapa buah pusat hiburan di negeri ini.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti seperti tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita warga Thailand, dua lelaki warga Indonesia,10 lelaki Bangladesh, lima lelaki Nepal dan seorang lelaki India.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru," katanya.

Sementara itu, Muhamad Husni berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara malah tindakan bersepadu akan terus dilaksanakan bagi membanteras pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!