Buaya seberat 200kg berjaya ditangkap
ALOR GAJAH - Buaya yang sering muncul di Empangan Durian Tunggal sejak beberapa bulan lalu akhirnya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Noorzakiahanum Mohd Noh berkata, buaya seberat 200 kilogram dan sepanjang 3.4 meter itu berjaya diselamatkan selepas membuat pemantauan setelah dimaklumkan mengenai kehadiran seekor buaya berada dalam kawasan empangan tersebut sejak 14 Disember lalu.
Menurutnya, tangkapan berjaya dibuat dengan kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) yang membuat kerja-kerja pengeringan kolam menggunakan pam selain bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba.
"Dalam tempoh itu, kita juga dimaklumkan reptilia itu telah masuk ke kawasan limpahan dan pemantauan dibuat sejak Jumaat baru-baru ini sebelum operasi menangkap dilakukan jam 5 petang semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu seorang kakitangan SAMB, Mohd. Sham Hussin, 34, berkata, dia menghargai kecekapan jabatan perhilitan dan beberapa agensi pihak berkuasa lain yang pantas mengambil tindakan mengenai isu itu.
Menurutnya, ini pertama kali dia berdepan dengan situasi dihantui kelibat buaya sejak bekerja dengan syarikat itu tujuh tahun lalu.
"Semalam buaya itu naik ke atas dan duduk di dalam lumpur sebelum haiwan itu berjaya ditangkap.
"Walaupun sebelum ini dihantui keresahan kehadiran buaya, namun tak sedikit pun buat saya takut untuk bekerja di sini dan akan menjadikan satu pengalaman yang sukar dilupakan," katanya.
Dipercayai buaya tembaga itu akan dilepaskan ke kolam Paya Indah Wetland, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!