'Harimau hanya jilat pipi'
KUALA TERENGGANU - Status lelaki yang terbaring di sisi harimau yang dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook menggunakan nama Mohd Aidiel semalam menarik perhatian netizen.
Menurutnya, harimau itu tidak bertindak agresif sebaliknya hanya menjilat pipi lelaki berkenaan.
“Kepada yang bertanya nasib Pak Cik yang tertiarap ketika hampir diserang harimau yang sesat di Kampung Besol Lama di Bukit Besi, Dungun. Alhamdulillah..Pak Cik tu selamat, tak kena cakar pun,” tulisnya.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengesahkan seorang lelaki yang terbaring di sisi harimau dalam kejadian di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, di Dungun semalam tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, video tular yang menunjukkan seorang lelaki bergolek di samping harimau sebenarnya terselamat dan haiwan itu tidak bertindak di luar jangkaan.
“Lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, harimau yang berkeliaran di perkampungan itu sudah beredar dan masuk ke dalam hutan kira-kira jam 5.30 petang, semalam.
"Hasil pemantauan pegawai dan anggota Perhilitan di lapangan mendapati haiwan pemangsa itu bertindak masuk ke hutan berhampiran Hutan Simpan Besul.
"Bagaimanapun, pemerhatian masih lagi diteruskan bagi memantau keadaan semasa sekiranya mamalia itu keluar semula dari habitatnya dan operasi menjejaki haiwan itu diteruskan lagi hari ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Operasi kesan 2 ekor harimau diperluas
Jangan dekati lokasi 'pak belang': Polis
Persatuan Haiwan bimbang nasib harimau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!