Pemandu lori dijel lima tahun
PORT DICKSON - Seorang pemandu lori dihukum penjara lima tahun selepas didapati salah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat warga Singapura pada Januari tahun lalu.
Tertuduh, P Mani, 55, turut dikenakan hukuman denda RM40,000 iaitu sebanyak RM10,000 untuk setiap empat pertuduhan oleh Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Tertuduh juga bakal berdepan penjara empat tahun sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengakibatkan kematian Rosli Samad, 53, dan isterinya, Maimunah Sapari, 50, serta dua anak mereka, Nur Amalina, 20, dan Dayana Sarah, 17.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah lampu isyarat di Jalan Lukut-Sepang jam lebih kurang 2.30 petang pada 3 Januari 2018.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman berjalan serentak dan lesen memandu pemandu lori itu digantung selama tiga tahun.
Pendakwaan ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!