Gadis maut digilis lori
KLANG - Seorang gadis maut selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Simpang 4 Jalan Hamzah Alang/Jalan Limau pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Haslinda Haraji, 24, sedang membonceng motosikal yang ditunggang seorang remaja, Amirul Fikri Daniel Afan, 19.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kapar menuju ke Meru sebelum dipercayai bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.
"Akibat pergeselan itu, penunggang motosikal hilang kawalan sehingga mengakibatkan pembonceng di belakang jatuh dan digilis lori terbabit.
"Penunggang motosikal juga turut terseret di atas jalan akibat kejadian itu," katanya.
Nurulhuda berkata, ketika polis tiba, pemandu lori terbabit sudah tiada di lokasi kemalangan.
"Siasatan mendapati lokasi terbabit tidak mempunyai kamera litar tertutup.
"Buat masa ini tiada sebarang saksi tampil bagi memberikan maklumat," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!