Jangan pandang sinis produk makanan anak-anak istimewa
PASIR MAS - Pusat Latihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Ilham, Tendong kecewa dengan persepsi negatif segelintir masyarakat yang mempertikai dan memandang sinis produk makanan hasil keluaran anak-anak istimewa di bawah kelolaan pihaknya.
Penyelianya, Zarini Che Daud berkata, pihaknya amat menitikberatkan aspek kebersihan malah setiap anak-anak istimewa tersebut diberikan suntikan thypiod sebagai pengendali makanan.
"Suntikan ini selaras dengan syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi, masyarakat di luar sana tidak perlu khuatir dengan kebersihan makanan yang dihasilkan anak-anak istimewa ini.
"Bukan itu sahaja, PDK Nur Ilham turut mewajibkan anak-anak istimewa memotong kuku dan mencuci tangan sebelum memulakan kerja-kerja menghasilkan produk makanan," katanya.
Menurutnya, masyarakat diharap dapat memberi ruang dengan menyokong segala produk dihasilkan anak-anak itu.
"Stigma produk anak-anak istimewa ini tidak bersih perlu ditukar dengan memberikan sokongan. Sokongan yang dimaksudkan ialah dengan mempromosi segala hasil keluaran anak-anak ini kepada masyarakat.
"Bagaimanapun, saya lega apabila masyarakat sudah mula menerima produk anak-anak PDK Nur Ilham. Kesemua hasil jualan produk diagihkan sama rata kepada semua pelatih terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!