Jangan tipu kerajaan negeri untuk dapatkan projek
BALING - Pihak berkepentingan terhadap operasi kuari batu kapur Gunung Pulai dinasihatkan tidak menggunakan unsur penipuan bagi mendapatkan kelulusan kerajaan negeri.
Wakil penduduk, bekas Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bahagian Pengurusan, Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah berkata, tindakan seumpama itu akan merugikan kerajaan negeri dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, sekiranya rakyat membantah sesuatu projek, pihak berkepentingan tidak wajar mendapatkan kelulusan secara menipu.
"Janganlah ada urusan-urusan penipuan kepada rakyat dengan tujuan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri.
"Ini akan merugikan kerajaan negeri dalam jangka masa panjang. Ini satu tindakan tidak wajar dilakukan di bawah kerajaan berhati rakyat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Che Wan Jusoh hari ini.
Terdahulu, Jamidan bertemu penduduk dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris di Kampung Che Wan Jusoh bagi memberikan sokongan dalam mempertahankan Gunung Pulai daripada operasi kuari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!