Pak belang tu jilat bahu saya bukan pipi
DUNGUN - 'Mati doh aku!' Itu yang terlintas di hati warga emas, Abdul Fatah Wan A Rahman, 68, semasa dijilat harimau belang selepas rebah di atas jalan raya.
Rakaman videonya yang dikatakan dijilat harimau belang di pipi tular di media sosial sejurus kes dua ekor harimau berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun semalam.
Bagaimanapun Abdul Fatah berkata, dia sebenarnya dijilat pak belang itu sebanyak dua kali di bahagian bahu dan bukan di pipi seperti yang tersebar.
Katanya, akibat insiden kira-kira jam 4 petang itu, dia mengalami kecederaan ringan luka di siku kanan dan kaki kiri serta sangat bersyukur kerana tidak dicederakan harimau tersebut biarpun ia seakan mahu menerkamnya.
"Sebenarnya waktu itu pak cik pesan pada orang ramai di situ, jangan duduk dekat sangat dengan harimau tu... tapi tiba-tiba haiwan itu lompat dari tebing tempatnya bertenggek.
"Pak cik terkejut... nak lari tiba-tiba jatuh pula atas jalan. Sekelip mata harimau itu ada di depan muka," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seren Bukit Besi hari ini.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, ketika dihampiri pak belang itu, tangannya cuba menolak muka haiwan itu kerana bimbang digigit dan bukan mahu menumbuk muka harimau tersebut seperti andaian segelintir pihak.
Menurut pesara Pejabat Kesihatan Daerah Dungun itu, dia pergi ke kampung berkenaan bersama isterinya selepas dihubungi rakannya dan kejadian dia dihampiri pak belang itu turut dirakam isterinya.
Sementara itu, isterinya, Zarina Ahmad Khan, 59, berkata, hanya ALLAH SWT yang tahu perasaannya ketika melihat suaminya terjatuh.
"Harimau itu dekat betul. Muka harimau tu betul-betul mengarah ke kepala suami mak cik.
"Ketar lutut mak cik masa tu, sebab sekelip mata harimau itu sudah ada di tepi dia," ceritanya.
Zarina berkata, hatinya lega apabila harimau itu cuma menjilat bahu suaminya.
"Lepas jilat dua kali, harimau tu pun pergi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!