15 usahawan luar bandar teroka pasaran antarabangsa
PUTRAJAYA - Seramai 15 usahawan luar bandar berpeluang menerokai pasaran antarabangsa melalui penyertaan Expo Malaysia Fest 2019 di Singapura bermula 24 hingga 28 Julai ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, usaha di bawah program Rural To Global itu adalah pertama kali dilaksanakan yang mana menyediakan peluang kepada para usahawan menyertai expo di luar negara.
“Program ini dilaksanakan untuk membantu usahawan-usahawan ini untuk membuka pasaran di peringkat antarabangsa di samping memberi ruang kepada mereka menghasilkan produk yang berkualiti dan memiliki kriteria yang memenuhi piawaian untuk pasaran eksport serta berpotensi untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Program ini merupakan salah satu strategi yang dirangka apabila kita merangka Pelan Pembangunan Luar Bandar tahun lalu dan diikuti dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada 27 Jun lepas,” katanya pada sidang media Majlis Pelepasan (flag-off) Usahawan Kementerian Luar Bandar ke Expo Malaysia Fest 2019, Singapura di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan 15 usahawan tersebut adalah berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan.
“Kita memilih mereka yang ada potensi dan sudah pun memenuhi beberapa kriteria yang wajib dari segi pensijilan dan sebagainya sebab kita mahu bawa produk mereka ke luar negara. Usahawan yang terpilih ini juga antara mereka yang tidak pernah menyertai ekspo-ekspo di luar negara.
“Kalau nak teroka pasaran antarabangsa ini ada beberapa kriteria yg perlu mereka penuhi dan secara tak langsung ia meningkatkan produktiviti dan kualiti produk yang mereka hasilkan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Pelan perancangan dan pembangunan Kampung Baru, Rina mengharapkan agar ia mendapat komitmen daripada semua pihak terlibat.
“Apa yang saya harapkan, agar ia dilaksanakan dan apa sahaja perancangan yang kita buat perlu dilaksanakan dan perlu mendapat komitmen daripada semua pihak.
“Saya rasa isu ini sudah begitu lama dibincangkan dan Insya-ALLAH akan ada satu bentuk pembangunan yang lestari utk penduduk Kampung Baru,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa pembangunan yang akan dilaksanakan itu akan memberi manfaat buat penduduknya.
“Yang pentingnya ia harus memberi manfaat kepada penduduk dan bagi saya ia perlu mengekalkan ciri-ciri kampung.
“Mungkin kita buat dengan ciri-ciri yang ada sejarah tentang Kampung Baru. Kita kekalkan namanya, tetap Kampung Baru,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembangunan Kampung Baru: Saya tunggu taklimat PKB - Rina Harun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!