Imigresen tumpas sindiket cop palsu
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia menahan lima warganegara Vietnam dipercayai dalang sindiket pemalsuan cop keselamatan Imigresen dalam satu operasi di sebuah kondominium di Sungai Besi Kuala Lumpur semalam.
Dalam serbuan sekitar jam 12.05 tengah malam itu, dua adik-beradik wanita masing-masing berusia 51 dan 46 tahun yang merupakan dalang utama sindiket turut ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan itu dijalankan hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu yang mendapati lokasi tersebut dijadikan markas operasi kegiatan pemalsuan itu.
Menurutnya, sindiket ini didapati aktif di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu dan hanya menyasarkan warganegara Vietnam yang mempunyai masalah untuk pulang ke negara asal atas faktor telah tinggal lebih masa.
"Kebanyakan pelanggan sindiket terdiri daripada mereka yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi tidak pulang selepas PLS tersebut tamat tempoh sebaliknya mereka
terus bekerja di Malaysia secara haram," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan dilakukan seorang suspek telah bertindak ganas dengan mengugut untuk mencederakan anggota serbuan menggunakan pisau pemotong daging.
"Bagaimanapun keadaan dapat dikawal dan tiada kejadian buruk berlaku.
"Selain melakukan provokasi, suspek utama juga cuba menghapuskan bukti dengan mencampakkan semua cop imigresen palsu ke bawah dari tingkat 13 kondominium tersebut," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, hasil serbuan telah menjumpai lapan cop keselamatan imigresen yang dipalsukan iaitu cop keluar dan cop masuk.
"Turut ditemukan sebuah komputer riba dan 61 pasport milik warganegara Vietnam. Turut disita adalah sebuah kenderaan Toyota Avanza," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!