Kenapa PBT tampal peringatan cukai taksiran di pagar rumah?

Kalaikumar menunjukkan pelekat peringatan bayaran cukai taksiran yang diletakkan di pagar rumah penduduk.
Kalaikumar menunjukkan pelekat peringatan bayaran cukai taksiran yang diletakkan di pagar rumah penduduk.
A
A
A

GOMBAK - Pertubuhan Tindakan Keamanan dan Pembanteras Jenayah Selangor Kuala Lumpur menegur tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menampal pelekat peringatan bayaran cukai taksiran di pagar rumah penduduk.

Presidennya, Dr V Kalaikumar berkata, tindakan tersebut disifatkan tidak profesional seperti mana dilakukan pinjaman haram ah long untuk memungut hutang.

Menurutnya, PBT perlu menggunakan saluran undang-undang dengan menghantar surat peguam dan disusuli tindakan ke mahkamah sekiranya penduduk berdegil melunaskan tunggakan cukai taksiran.

"Apabila melekatkan pelekat berwarna merah dan putih di pagar rumah, dah sama macam ah long dan secara tidak langsung mendatangkan kesan psikologi negatif kepada penduduk.

"Ini tindakan yang sengaja mahu memalukan pemilik rumah dan jika orang itu sudah menjelaskan semua tunggakan, adakah jiran-jiran akan berhenti bercakap mengenai perkara ini?

"Sangat tidak wajar dan tidak profesional kerana PBT sudah ada saluran yang ditetapkan bagi mengutip tunggakan cukai taksiran. Bukan cara sebegini," kataya kepada Sinar Harian.

Kalaikumar berkata, pihaknya mengalu-alukan PBT mempertingkatkan usaha memungut tunggakan cukai berkenaan bagi memastikan kelancaran pembangunan untuk rakyat.

"Usaha tersebut perlu mengikut lunas undang-undang secara profesional agar pembayar cukai mempunyai ruang mencukupi bagi melunaskan tunggakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak tahu apa masalah pembayar cukai, gunakanlah saluran betul tanpa membuka aib sehingga memalukan mereka secara terang-terangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!