Penunggang motosikal maut rempuh belakang kereta
PETALING JAYA - Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta dalam kejadian di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala Kuala Lumpur petang tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Shakir Zufayri Ramli berumur 19 tahun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketika kejadian terdapat sebuah kereta berhenti di lorong kiri jalan.
"Siasatan awal dijalankan mendapati kereta tersebut hanya menyalakan lampu kecemasan tanpa meletakkan sebarang papan tanda amaran.
"Mangsa yang gagal mengawal motosikal merempuh kereta tersebut dari arah belakang," katanya.
Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong tengah dan dilanggar sebuah kenderaan lain yang ketika itu berada di lorong tengah.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah dibawa dengan ambulans ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sana.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!