Tragedi MH17: 'Tunggu mak di Syurga'

Habibah menunjukkan gambar anak perempuannya yang terkorban dalam tragedi udara pada 17 Julai 2014 itu.
Habibah menunjukkan gambar anak perempuannya yang terkorban dalam tragedi udara pada 17 Julai 2014 itu.
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine masih terus mengenang ahli keluarga mereka terkorban dalam nahas itu.

Ibu Ketua Pramugari MH17, Habibah Ismail, 70, berkata, tragedi menimpa anak kedua dari empat adik beradik itu, Azrina Yakob, 41, terus segar di ingatan walaupun sudah lima tahun berlalu.

Menurutnya, dia berasa sedih setiap kali melihat barang peribadi milik arwah anak perempuannya termasuklah foto Azrina ditempatkan di ruang khas di rumahnya di Kampung Kelompang, di sini.

"Bagaimanapun, mak cik tetap reda mengenangkan kejadian menimpa anak perempuannya walaupun masih merindui Azrina sehingga kini.

"Jadi, mak cik sentiasa memanjatkan doa untuk Azrina dengan harapan agar satu hari nanti kami dapat bertemu semula di Syurga. Mak cik harap kami dapat jumpa dia di Syurga," luahnya.

Gambar kenangan Allahyarham Azrina
Gambar kenangan Allahyarham Azrina

Habibah kini lebih tabah walaupun terpaksa menerima hakikat kehilangan insan tersayang dalam kehidupannya ekoran tragedi itu.

"Masa mjula-mula dulu, mak cik tak rasa apa-apa sebab mak cik rasa Azrina masih hidup terutamanya bila di rumah, terasa dia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Tapi... lama-kelamaan perasaan itu kian hilang dan mak cik reda dan akur dengan ketentuan Illahi atas kejadian menimpa anak mak cik.

"Untuk itu, kami sekeluarga buat kenduri arwah untuknya dan arwah suami, Yakob Silamsudin yang pergi mengadap Illahi kira-kira tiga tahun lepas," katanya.

Menurutnya, dia yakin doa orang teraniaya dimakbulkan ALLAH SWT dan berharap kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya dan si pelaku yang menembak jatuh pesawat itu dikenakan hukuman setimpal.

"Kalau rindu... mak cik akan menziarahi pusara Azrina di Taiping," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 298 penumpang pesawat MH 17 terkorban dalam tragedi udara pada 17 Julai 2014 akibat ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!