Mansuhkah tol?
TIGA hari lepas saya menghadiri Highway Concession Conference 2019 di Hotel Lexis Pulau Pinang. Ada 17 orang pakar dalam bidang masing-masing membentangkan kertas kerja berkenaan industri masing-masing terutama yang melibatkan dengan industri lebuh raya.
Walaupun mereka semua pakar dan berjawatan besar, namun saya hairan kenapa pembentangan kertas kerja atau perkongsian kepakaran itu agak membosankan? Bukan semua, ada juga yang menarik cara pembentangan dan isi kandungan tetapi rata-rata mereka ini membaca apa yang terpampang pada skrin sahaja.
Seorang pemuda segak yang duduk di sebelah saya sempat membisikkan sesuatu: “Tak mengantuk ke?” Saya hanya tersenyum dan angguk-angguk. Mungkin pakar-pakar itu perlu memahirkan diri lagi dalam pengucapan awam supaya dapat menarik perhatian hadirin yang asyik menatap telefon bimbit pula.
Walaupun begitu, ada beberapa orang pembentang yang dapat menarik perhatian hadirin. Mata yang mungkin mengantuk tiba-tiba segar pula apabila disentap-sentap beberapa kali dengan ucapan sinis.
Pembentangan oleh CEO Axiata Digital Services Sdn Bhd, Mohd Khairil Abdullah, mendapat perhatian warga hadirin.Beliau mengeluarkan satu paparan slaid seolah-olah menyatakan 'dah lebih 30 tahun, masih di takuk lamakah?'
Ucapan daripada Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang juga agak menarik dengan cadangan dan pertanyaan yang mungkin patut difikirkan bersama juga. Beliau mencadangkan agar lorong kecemasan dijadikan untuk laluan motosikal sahaja. Terutama ketika musim perayaan.
“Rugi sebenarnya laluan kecemasan ini tidak digunakan sepenuhnya. Biarlah motosikal menggunakannya. Kalau boleh kuatkuasakan supaya motosikal tidak menggunakan jalan tengah. Sekurang-kurangnya, ini dapat mengurangkan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal,” kata beliau.
Kemudian beliau mencadangkan agar kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup sahaja ketika musim perayaan untuk mengurangkan lagi kesesakan lalu lintas. Kata beliau: "Mereka yang nak balik kampung tu bawa bekal atau makan siap-siap sebelum mulakan perjalanan.”
Pemuda segak di sebelah saya lantas mencuit bahu saya: “Nanti stesen minyak kena tutup juga ke? Nanti sesak di stesen minyak pula.” Saya hanya menggelengkan kepala sahaja tanda tidak pasti.
Pembentangan seterusnya pula penceramah dari Jepun iaitu Shinya Maehara daripada West-Nexco Japan Highway yang memperkenalkan peralatan canggih ketika menyelenggara lebuh raya. Peralatan canggih itu ialah sebuah kenderaan yang dipanggil RoboCon. Ia digunakan untuk menyusun kon ketika membuat penutupan jalan.
Katanya, ia menjimatkan masa. Hanya lapan minit untuk menyusun kon sejauh dua kilometer. Apabila ditanya berapa harga, beliau menjawab: “Ah so, aroundo RM5 miliyon.”(Lebih kurang RM5 juta).
Lantas pemuda di sebelah saya mencuit bahu saya lagi: “Gila!”
Pembentangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin hanya lebih kepada mempromosikan produk mereka. Terutama produk E-Wallet Pay Direct. Memang sudah menjadi gaya hidup orang sekarang ini membayar secara atas talian.
Sekali lagi pemuda di sebelah saya menyinggung siku saya sambil berkata dengan wajah sinis: "Monopoli!”Politik
Pembentang kertas kerja yang terakhir pula oleh Ir Sazali Harun daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia amat menarik dan membuka mata.
Terdapat beberapa slaid tentang sejarah tol.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kutipan tol pertama untuk jambatan pada tahun 1965 ialah Jambatan Sultan Yahya Petra di Kelantan.
Ia dikutip oleh kerajaan Pas ketika berkuasa.
Apabila Pas kalah dan Barisan Nasional (BN) mengambil alih, mereka memansuhkan tol pula. Sebaliknya di Jambatan Sultan Mahmud, Terengganu apabila Pas memerintah, tol tersebut dimansuhkan oleh Pas yang sebelum ini dikutip kerajaan BN.
Pemuda sebelah saya pantas mencengkam bahu saya dan berbisik sambil mengetap bibir: “Kau nampak tak? Nampak tak? Ini semua politik!” Sekali lagi saya mengangguk-angguk dan tersenyum.
Selain itu, Ir Sazali berkongsi hasil dapatan kajian kehendak pengguna. Hasil analisis yang dibuat oleh KPMG, kata beliau, rata-rata rungutan pengguna adalah isu kesesakan yang tidak berkesudahan dan nampaknya masih tiada penyelesaian.
Secara keseluruhan pembentangan itu amat bagus. Banyak perkongsian teknologi untuk pengguna lebuh raya pada masa akan datang dapat difikirkan. Lebih-lebih lagi tentang minda pengguna masa kini agak berbeza dengan pengguna masa dahulu kala. Minda generasi milenium.
Teknologi baharu yang akan digunakan di Malaysia seperti RFID giat dijalankan dan lebuh raya menuju ke arah Multilane Free Flow (MLFF).
Pemuda di sebelah saya sekali lagi dengan pantas menarik bahu saya ketika saya bangun hendak keluar. Dia berbisik di telinga saya: “Tol nak mansuhkah atau tak? Kalau nak mansuh kenapa berbincang pasal teknologi masa depan pula?”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!