Jaafaria Souq lokasi jemaah haji cari cenderamata
MAKKAH - Jaafaria Souq atau pasar Jaafaria, satu daripada emporium borong yang terkenal di sini menempatkan ratusan kedai seperti pakaian, aksesori, tasbih dan minyak wangi menjadi antara lokasi jemaah haji mendapatkan cenderamata untuk yang tersayang di tanah air.
Penulis tidak ketinggalan untuk membeli buah tangan buat keluarga dan pastinya minyak wangi kasturi menjadi antara barangan yang harus dibeli penulis di sini.
Jaafaria Souq terletak hanya kira-kira satu kilometer dari Masjidil Haram, di sebelah Masjid Jin dan penulis kemudian berjumpa dengan pemilik kedai minyak wangi Muhammad Ibrahim, 48, berketurunan Pakistan-Arab yang berniaga di situ sejak pusat beli-belah itu dibuka pada 2008.
Beliau berkata bangunan moden Jaafaria Souq itu dibina apabila peniaga dari Pasar Seng dan kawasan sekitar Masjidil Haram terpaksa berpindah untuk pembesaran masjid suci itu.
“Selama bertahun-tahun, Jaafaria Souq menjadi tempat popular untuk jemaah membeli cenderamata dalam kuantiti yang banyak, ramai rakyat Malaysia datang ke sini dan kami belajar beberapa perkataan Melayu seperti ‘apa khabar’, ‘harga murah’, ‘berapa harga’ dan ‘terima kasih’ supaya lebih mudah berkomunikasi dengan pelanggan.
“Jemaah dari Indonesia, India, Pakistan dan Turki juga datang ke sini kerana kami menjual barang berkualiti pada harga murah. Ada peniaga yang mendapatkan barangan mereka dari negara lain seperti China, Pakistan dan India tetapi minyak wangi saya 100 peratus dibuat di Arab Saudi,” katanya kepada Bernama.
Tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah.
Mencari barang lain yang harus dibeli di pasar raya borong ini iaitu tasbih, penulis berjumpa dengan pemilik kedai tasbih Abdullah, 69, berasal dari Yemen dan anaknya Abu Bakar, 42, yang dilahirkan di sini dan Abdullah berbesar hati untuk berkongsi beberapa tip bagaimana dapat membeli-belah dengan berbaloi di situ.
Abdullah berkata yang pertama adalah membeli dengan kuantiti banyak dan jumlah yang paling sedikit ialah setengah dozen kerana ia akan menurunkan harga barangan itu lebih rendah.
“Apabila anda membeli berdozen-dozen, anda boleh membuat tawar-menawar harga dengan penjual, itulah tip seterusnya iaitu sentiasa berunding harga apabila membeli banyak. Tetapi jangan terlebih runding, hanya fikirkan satu harga dan apabila peniaga menawarkan dengan harga itu, sila beli,” katanya.
Panduan yang paling penting menurut Abdullah ialah membeli-belah pada waktu paling awal musim haji atau seawal mungkin kerana peniaga biasanya akan menaikkan harga apabila lebih ramai jemaah haji tiba atau ketika jemaah ingin pulang setelah musim haji berakhir.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!