Kes pijak al-Quran beri tempias pemerintahan Islam Kelantan

Ahmad bersalaman dengan anak muda di Himpunan Anak Muda yang berlangsung di Pantai Geting.
Ahmad bersalaman dengan anak muda di Himpunan Anak Muda yang berlangsung di Pantai Geting.
A
A
A

TUMPAT - Perbuatan biadab remaja yang memijak al-Quran dalam kejadian di Kusial, Tanah Merah turut memberi tempias kepada pemerintahan kerajaan Islam di Kelantan walaupun ia kes terpencil.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun ia hanya kes terpencil, namun tidak sepatutnya berlaku di negeri ini ketika kerajaan negeri berusaha melahirkan anak muda yang bermaruah dan berakhlak.

Bagaimanapun, beliau melihat kes yang berlaku itu sebagai satu cabaran dan ujian besar ALLAH dalam usaha kerajaan Kelantan membangun bersama Islam.

"Ini cabaran ketika kita memimpin atas nama Islam, tempat (negeri) kuatnya Islam, maka syaitan pun besar, kita akan berhadapan cabaran seperti ini ketika kita berusaha kuat untuk melahirkan orang yang lebih baik.

"Tetapi negeri yang tidak kuat Islam, tidak pula berbangkit perkara buruk.

"Walau pun sudah banyak program ilmu di bawah Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan diadakan untuk anak muda tetapi tidak semua orang dapat kita didik dan asuh," katanya ditemui di Pantai Geting, semalam.

Ahmad sebelum itu merasmikan Himpunan Anak Muda anjuran kerajaan negeri yang dihadiri hampir 40,000 pengunjung yang dimeriahkan dengan himpunan kelab motor seluruh negeri Kelantan, bicara bersama Murabbi Sejuta Ummah, Azhar Idrus, sukan, lighting car show dan persembahan simfoni kesenian Islam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad berkata, sepatutnya tindakan memijak al-Quran itu tidak berlaku kerana ia satu perbuatan yang amat teruk.

"Ada lagi segelintir rakyat Kelantan yang 'berat' (teruk), tidak sepatutnya berlaku perkara ini, dan berharap sangat pada keluarga remaja terbabit ambil tanggungjawab yang sebenar supaya tidak berulang kali kedua," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pijak al-Quran: Empat remaja perempuan ditahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!