Najwan nafi jadi dalang skandal video intim
SHAH ALAM - Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menafikan dakwaan beliau terlibat dalam konspirasi video intim membabitkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang individu didakwa mirip menteri Kabinet.
Menurutnya, dakwaan itu sama sekali tidak berasas sambil menyifatkan ia bertujuan untuk memecah belahkan parti.
"Ini adalah permainan minda di media sosial yang bertujuan untuk mengancam parti dan mewujudkan perpecahan.
"Skandal intim yang didakwa membabitkan menteri itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan pemilihan parti," katanya kepada sebuah portal berita ketika menghadiri temu rapat (retreat) parti itu di Port Dickson semalam.
Jelasnya, sesiapa sahaja bebas untuk memberi sokongan dan apa yang berlaku sekarang tidak harus dikaitkan dengan kempen pemilihan parti.
"PKR mesti bergerak ke hadapan dengan menolak politik kotor dan memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.
Najwan sebelum ini didakwa sebagai salah seorang perancang dalam skandal video intim berkenaan berikutan penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Rabu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini memaklumkan video itu dihasilkan oleh pihak yang diupah ratusan ribu ringgit dan didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan untuk mengaibkan dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!