Tarik pengundi muda baharu
PONTIAN - Pelaksananan had umur mengundi kepada 18 tahun perlu disambut dengan kesedaran ahli untuk melakukan gerak kerja lebih giat dan proaktif.
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, banyak gerak yang perlu dilakukan bagi menghadapi PRU15 kelak.
Menurutnya, Pemuda UMNO perlu lebih proaktif menarik pengundi muda yang masih baharu dalam halan tuju politik pada masa kini.
“Pemuda ada tugas dan tanggungjawab baharu apabila pelaksanaan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun yang pastinya akan diterjemahkan pada PRU15 setelah proses pendaftaran mereka selesai.
“Ini satu cabaran besar kepada Pemuda UMNO, begitu juga kepada sayap-sayap yang lain seperti Wanita dan Puteri UMNO yang perlu menyusun gerak kerja bermula dari sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagia Pontian di Homestay Santai, Parit Betak Benut di sini malam tadi.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Muhd Helmi Buang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!