CAP bimbang e-rokok bentuk jam jadi kegilaan pelajar
BUKIT MERTAJAM - Ia kelihatan seperti jam tangan biasa namun siapa sangka ia sebenarnya berfungsi sebagai e-rokok (vape) yang boleh digunakan sesiapa sahaja dan mudah dibawa ke mana-mana.
Alat ini boleh ditanggalkan daripada tali pergelangan tangan bagi perokok dan ia berfungsi menggunakan bateri yang boleh dicaj semula selain pengguna boleh mengisi semula dengan cecair berperisa pilihan mereka.
Perkembangan teknologi ini membuatkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan e-rokok yang berbentuk jam ini berikutan ia semakin popular terutamanya di kalangan pelajar dan mudah untuk membawanya ke sekolah tanpa menimbulkan sebarang kecurigaan.
Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, dengan harga mampu milik, ia boleh dibeli oleh golongan remaja malah harga untuk cecair perisa e-rokok berkenaan juga dianggarkan tidak melebihi RM20 untuk setiap isian semula.
Menurutnya, pihak berkuasa harus memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap penjualan produk berkenaan kerana ia menggalakkan remaja yang masih bersekolah terjebak dengan menghisap vape.
"Kami ingin tahu adakah jika alat ini telah diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) dan SIRIM kerana alat elektronik ini tidak mempunyai pelekat daripada agensi itu.
"Ini menimbulkan persoalan bagaimana alat ini memasuki pasaran Malaysia melainkan ia diseludup atau diikrarkan sebagai produk lain," katanya di sini.
Mohaideen berkata, Akta Kawalan Tembakau amat diperlukan pada saat penting ini apabila kerajaan sedang menguatkan lagi kawalan ke atas penggunaan produk tembakau di bawah garis panduan Rangka Kerja Konvensyen bagi Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WHO).
Katanya, pihak berkuasa yang berkenaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (JKDM) perlu segera menyiasat mengenai penjualan alat e-rokok ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!