Sultan, Sultanah Terengganu berangkat ke pertunjukan kucing
KUALA NERUS - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat.
Turut sama berangkat, anakanda Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Fatimatuz Zahra.
Terdahulu, ketibaan Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah bersama dua anakanda disambut Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut menyambut ketibaan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya.
Pada majlis itu, Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah bersama dua anakanda meluangkan masa hampir dua jam melawat ke ruang pameran tersebut.
Sebanyak 142 kucing pelbagai baka dari seluruh dunia dipamerkan dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 kali ini membabitkan kucing dari Thailand, Indonesia dan China.
Program dua hari yang julung kali diadakan itu cukup istimewa kerana idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!