Anwar tidak lagi relevan dipilih sebagai PM: Pas Kedah
ALOR SETAR - Pas Kedah menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi relevan untuk diangkat sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti disebut-sebut.
Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya berkata, pihaknya yakin Anwar tidak lagi menjadi pilihan rakyat untuk mengetuai negara dan pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik untuk mengatasi krisis politik dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR.
Menurutnya, pihaknya juga menjangkakan PRU15 akan diadakan lebih awal berbanding tempoh matangnya (lima tahun), susulan krisis yang melanda PH.
“Terus terang saya katakan, Anwar sudah cukup lama membuatkan negara berkocak, hanya dengan satu nama ini.
"Jadi saya rasakan, beliau bukan lagi pilihan rakyat untuk dipilih sebagai perdana menteri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Ahmad berkata, penolakan terhadap Anwar bukan bermakna Pas Kedah menyokong peralihan kuasa diberikan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kami senada dengan pandangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan pembubaran Parlimen dan pilih Pas,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Pas lebih selesa bekerjasama dengan Mohamed Azmin sebagai perdana menteri, Ahmad turut menepis dakwaan itu.
“Kita ambil cermin dan tengoklah, kalau ikutkan selera, memang kami tak berselera termasuk dengan Mohamed Azmin,” katanya.
Menurutnya, Pas akui krisis dalaman PKR itu menguntungkan pembangkang dari aspek politik, namun dalam konteks negara, ia membimbangkan.
“Rakyat kini berasa tak selesa dengan apa yang berlaku, janji tidak ditunaikan serta pelbagai masalah bawah PH. Antara aspek perlu diperhatikan adalah parti yang dominan kerusi dalam PH adalah PKR, apabila mereka bertelagah menyebabkan DAP yang dominan,” katanya.
Ahmad berkata, berdasarkan senario politik semasa, Pas bersedia pada bila-bila masa sekiranya diadakan PRU15 lebih awal.
“Kita perhatikan senario politik termasuk pertembungan PKR dan PH, kita menjangkakan PRU15 akan berlaku lebih cepat, bukan lagi lima tahun seperti selalu,” katanya.
Ditanya sama ada perbincangan mengenai persediaan PRU15 telah diadakan antara Pas-UMNO di peringkat negeri, katanya, ia hanya menjurus kepada sesi perkenalan selain menunggu isyarat daripada Pusat.
Mengulas kesediaan Pas Kedah meletakkan calon berusia 18 tahun, katanya, ia bakal dipertimbangkan memandangkan pemilihan calon ditentukan di peringkat negeri dan Pusat.
“Pindaan itu mengiktiraf kematangan anak muda, untuk mereka berfikir secara matang menentukan masa depan negara, ini peluang yang sangat baik untuk anak muda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!